
Fenomena itu bermula selepas Ketua Hakim Negara India Surya Kant membuat kenyataan kontroversi semasa prosiding pada 15 Mei didakwa menyamakan sebahagian belia menganggur dengan ‘lipas’ dan ‘parasit’ yang menjadi pengamal media, aktivis media sosial atau aktivis Hak untuk Mendapatkan Maklumat (RTI) yang ‘mula menyerang semua pihak’.
Hakim tertinggi itu pada keesokan harinya menjelaskan kenyataannya telah disalah petik media dan beliau hanya merujuk kepada individu menceburi profesion menggunakan ‘ijazah palsu dan meragukan’.
Namun, kenyataan itu tular dan mencetuskan gelombang kritikan, sindiran serta meme dalam talian.
Abhijeet Dipke, graduan perhubungan awam dari Universiti Boston di Amerika Syarikat (AS), tampil dengan idea ‘Cockroach Janta Party (CJP)’ atau Parti Rakyat Lipas.
Pengikutnya di Instagram mencecah lebih 15 juta pada Khamis, manakala akaun X dengan nama pengguna @CJP_2029 menarik 200,000 pengikut sebelum disekat di negara itu.
Dilancarkan pada Sabtu, slogan parti itu ialah ‘Barisan politik belia, oleh belia, untuk belia’.
“Seperti dijangka, akaun Cockroach Janta Party telah disekat di India,” kata Dipke dalam hantaran di X.
Kempen satira itu menarik perhatian besar dalam talian di India dan dalam kalangan rakyat India di luar negara, dengan perbincangan tertumpu kepada isu seperti politik India yang lantang dan memecahbelahkan, rasuah serta peningkatan pengangguran belia.
Sebahagian pihak melihatnya sebagai usaha mempengaruhi PRU India pada 2029.
Jumlah pengikut CJP di Instagram melebihi pengikut Parti Bharatiya Janata (BJP) yang memerintah dan parti pembangkang utama Kongres Kebangsaan India di platform itu.
Ramai pemerhati mengaitkan sambutan terhadap kempen Dipke dengan keresahan yang dirasai Generasi Z India akibat kekurangan peluang pendidikan dan pekerjaan.
“Apa yang menjadikan CJP menarik ialah populariti dan pengaruhnya dalam kalangan Generasi Z India. Bolehkah ia berkembang menjadi platform yang menyuarakan rungutan belia India? Adakah ia hanya fenomena sementara? Mampukah ia memberi kesan politik?” soal editor hal ehwal sosial The Hindu, G Sampath dalam artikel yang diterbitkan di bahagian audio siar akhbar itu.
“India sedang berdepan tsunami lipas,” tulis bekas editor BBC Nayeema Ahmad Mahjoor di Facebook miliknya.