
Ketika pemeriksaan semula oleh peguam utama Najib, Shafee Abdullah, bekas pegawai penyiasat R Rajagopal memberitahu mahkamah bahawa tiada pihak atasan pernah mengarahkannya untuk melengahkan atau menghentikan siasatan.
Shafee: Adakah ketua polis negara (KPN) pernah mengarahkan anda supaya melengahkan atau menangguhkan siasatan?
Rajagopal: Tidak. Saya tidak menerima sebarang arahan sedemikian daripada KPN.
Shafee: Kebanyakan siasatan anda berlaku semasa Najib menjadi perdana menteri. Adakah beliau pernah memanggil anda untuk memberi taklimat mengenai 1MDB?
Rajagopal: Tidak pernah.
Shafee: Semasa Najib masih dalam jawatan, adakah anda atau pasukan anda pernah menerima arahan untuk menghentikan siasatan?
Rajagopal: Selepas saya ambil alih (siasatan), tiada arahan seperti itu.
Terdahulu, Rajagopal memberitahu mahkamah bahawa beliau mengambil alih pasukan siasatan daripada pegawai atasannya, Latt Mazura Mansor, yang digugurkan daripada pasukan tersebut.
“Saya merupakan sebahagian daripada pasukan siasatan dan diarahkan untuk meneruskan siasatan,” katanya, sambil menambah bahawa pertukaran tersebut berlaku pada September 2015.
Katanya, arahan untuk mengambil alih siasatan datang daripada Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Mortadza Nazarene.
Semalam, Rajagopal memberi keterangan bahawa beliau dipanggil untuk memberi taklimat kepada Dr Mahathir Mohamad mengenai siasatan 1MDB di Yayasan Kepimpinan Perdana, lima hari selepas Mahathir mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada Mei 2018.
Rajagopal berkata, beliau bersama pengganti Khalid, iaitu Fuzi Harun dan Pengarah JSJK Bukit Aman Amar Singh, telah memberi taklimat kepada Mahathir menggunakan pembentangan Microsoft PowerPoint.
Mahkamah diberitahu bahawa Mahathir kemudiannya mengarahkan mereka supaya menyelesaikan siasatan tersebut.
Katanya, beliau memaklumkan kepada Mahathir bahawa siasatan hanya tertumpu dalam Malaysia walaupun sebahagian besar bukti berada di luar negara.
Oleh itu, mereka perlu mendapatkan bantuan perundangan bersama daripada pihak berkuasa asing.
Dalam prosiding hari ini, Shafee turut bertanya kepada Rajagopal sama ada beliau mempunyai bukti langsung bahawa Najib memberi arahan mengenai ke mana dana 1MDB harus disalurkan.
“Saya tidak menemui bukti seperti itu. Tetapi berdasarkan cara syarikat itu beroperasi di bawah memorandum dan artikel penubuhan (M&A), sebarang transaksi perlu diputuskan oleh lembaga pengarah dan diluluskan oleh pemegang saham (Najib) sebelum ia boleh dilaksanakan,” katanya.
Najib, yang juga menteri kewangan ketika itu, merupakan satu-satunya pemegang saham 1MDB. Syarikat itu diletakkan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.
Perbicaraan bersambung esok.