
Kuil Sri Maha Kaliamman yang terletak di Jalan Putra Harmoni, berhampiran dengan lokasi kejadian, dibuka pagi tadi selepas berpuluh-puluh orang yang cedera masuk.
Penasihat kuil, R Maickavasagam, beritahu FMT bahawa ahli jawatankuasa kuil memaklumkan pihak berkuasa apabila melihat orang cedera, dan merawat mereka yang memerlukan bantuan segera.
“Orang ramai menjerit dan menangis meminta pertolongan. Jadi, presiden kuil kami, ahli jawatankuasa dan penganut segera buka pintu untuk membenarkan mereka masuk,” katanya.
Maickavasagam berkata, sejam kemudian kuil itu dijadikan pusat bantuan kecemasan dengan ketibaan polis dan paramedik.
Menurutnya dalam kalangan penduduk yang cedera ada yang mengalami lecur, luka berdarah, dan patah tulang.
Katanya, sukarelawan perubatan kuil, dibantu oleh Persatuan Bulan Sabit Merah dan ‘first responder’ lain, memberikan pertolongan cemas sebelum menghantar mereka yang parah ke hospital berdekatan.
“Ada mangsa melecur di seluruh badan, manakala yang lain trauma. Kami beri rawatan perubatan dan sokongan emosi.
“Tidak kira sama ada mereka India, Melayu, Cina atau warga asing. Jika mereka cedera atau memerlukan bantuan, mereka dialu-alukan.”
Penduduk dan pekerja penyelamat yang beragama Islam juga diberikan ruang untuk menunaikan solat di dalam perkarangan kuil.
Sukarelawan kuil turut menyediakan makanan dan minuman, khemah dan tandas, serta kawasan rehat untuk mangsa dan petugas barisan depan.
“Kami sentiasa berkhidmat kepada penduduk di sini. Hari ini, kami hanya melakukan apa yang patut. Pintu kami terbuka kepada semua,” kata Maickavasagam.