
Beliau berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mencari jalan dan fokus menyelesaikan semua masalah rakyat, khasnya mangsa kebakaran itu.
“Sebenarnya, semua tuduhan itu tidak perlu kita layan. Apa yang lebih penting adalah menyelesaikan masalah rakyat. Kita boleh lihat bagaimana Tuanku Agong sendiri telah turun padang menghulurkan pelbagai bentuk bantuan.
“Setakat hari ini, hampir semua kementerian telah menyalurkan bantuan seperti Kementerian Digital memberikan tablet dan telefon, Kementerian Pendidikan menyediakan perkhidmatan bas percuma, malah DAP juga mengumpul dana dan menyalurkannya 100% kepada mangsa.
“Semua orang membantu, jadi mari kita fokus kepada kerja dan menyediakan penyelesaian menyeluruh,” katanya menurut Utusan Malaysia dalam sidang media di Kuala Lumpur.
Menurutnya, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini bagi mencari penyelesaian terhadap masalah mangsa kebakaran itu, dengan semua keputusan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Kebakaran saluran paip gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights pada 8.10 pagi Selasa lalu menyaksikan api menjulang lebih 30m dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Sebanyak 148 rumah terjejas dan mengalami kerosakan, tetapi boleh didiami selepas melalui proses pembaikan, manakala 87 lagi mengalami kerosakan total serta tidak boleh didiami.
Setakat Jumaat lalu, 130 daripada 235 rumah di Taman Putra Harmoni yang terjejas dengan kebakaran itu disahkan selamat dan penghuninya dibenarkan pulang ke kediaman mereka.