Petronas ambil langkah proaktif selepas isu dikenal pasti, kata JKKP

Petronas ambil langkah proaktif selepas isu dikenal pasti, kata JKKP

Petronas akan ambil langkah proaktif untuk melaksanakan penambahbaikan yang perlu.

Husdin bin Che Amat
JKKP telah berbincang dengan Petronas mengenai tindakan dan langkah yang perlu diambil bagi jangka masa pendek dan panjang, kata Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum Husdin Che Amat.
SHAH ALAM:
Petronas mengenal pasti bahagian lain dalam rangkaian saluran paip gas yang mungkin terjejas oleh isu sama yang membawa kepada letupan dan kebakaran di Putra Heights pada 1 April, menurut Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum Husdin Che Amat berkata JKKP telah berbincang dengan Petronas mengenai tindakan dan langkah yang perlu diambil bagi jangka masa pendek dan panjang.

“Kami telah beri arahan yang jelas kerana isu telah dikenal pasti. Petronas akan mengambil langkah proaktif untuk melaksanakan penambahbaikan yang perlu,” katanya pada sidang media Laporan Siasatan Insiden Kebakaran Putra Heights di SUK Selangor.

Husdin tidak menyatakan lokasi bahagian yang dikenal pasti Petronas untuk kerja-kerja penambahbaikan tetapi berkata saluran paip itu sepanjang 2,680km, dari Kerteh ke Segamat, ke sempadan Singapura, dari Pengerang ke Segamat, dan ke sempadan Thailand.

Pasukan penyiasat menyimpulkan faktor persekitaran di bawah permukaan tanah merupakan punca utama paip tersebut gagal, dan pergeseran logam paip gas kemudian mencetuskan api yang meledak pada jam 8:08 pagi 1 April, menurut kenyataan Menteri Besar Amirudin Shari.

Faktor persekitaran itu termasuk keadaan tanah yang kurang stabil, pengumpulan air bawah tanah dalam tempoh masa panjang yang menyebabkan tanah kawasan semakin lembut, struktur saliran monsun dan ‘culvert’ yang terkesan akibat keadaan tanah, serta tekanan iklim dan kepadatan kawasan penduduk.

Katanya, siasatan pasukan teknikal mendapati bahawa sejak talian paip gas itu ditauliahkan pada tahun 2000, telah berlaku mendapan tanah sebanyak 24.3cm dalam tempoh 25 tahun, dan kesan mendapan tanah menyebabkan berlakunya pergerakan kepada paip gas sebanyak 15.9cm.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.