Laporan teknikal kebakaran Putra Heights dijangka lengkap 26 Jun

Laporan teknikal kebakaran Putra Heights dijangka lengkap 26 Jun

Laporan siasatan JKKP akan diselaraskan dengan hasil siasatan polis sebelum dimaklumkan kepada umum, kata menteri besar.

Kebakaran saluran gas Petronas di Putra Heights pada 1 April menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius. (Gambar EPA Images)
SHAH ALAM:
Laporan teknikal berhubung insiden letupan saluran dan kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April, dijangka dilengkapkan pada 26 Jun ini.

Menteri Besar Amirudin Shari juga berkata laporan siasatan itu akan diselaraskan dengan hasil siasatan jenayah sebelum dimaklumkan kepada umum.

“Siasatan jenayah kita tak boleh keluarkan sekarang kerana kita kena cantumkan sekali dengan siasatan teknikal kerana masih ada ruang yang perlu dikenal pasti daripada siasatan jenayah,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan ‘e-bike’ kepada polis di IPK Selangor.

Beliau berkata siasatan teknikal di bawah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) meliputi keutuhan paip, pergerakan tanah, selain menentukan sama ada sebarang aktiviti di kawasan itu memberi tekanan kepada saluran gas.

Pada 27 Mei, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata laporan siasatan polis serta JKKP berhubung kebakaran saluran gas di Putra Heights dijangka dikeluarkan pada hujung Jun.

Hussein berkata siasatan oleh polis yang turut meliputi unsur kecuaian atau khianat telah selesai dilakukan, dan pihaknya sedang menunggu JKKP melengkapkan siasatan.

Kebakaran saluran gas Petronas di Putra Heights pada 8.10 pagi, 1 April menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, dan mengambil masa hampir lapan jam untuk padam sepenuhnya, selain menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter di lokasi kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.