Petronas Gas gerak usaha pastikan keselamatan awam

Petronas Gas gerak usaha pastikan keselamatan awam

Petronas Gas Berhad komited pada penambahbaikan berterusan, mengatakan peristiwa 1 April tidak pernah berlaku dalam sejarah sistem penghantaran gasnya.

gas bocor putra heights
Petronas Gas Berhad faham kebimbangan orang ramai mengenai keselamatan sistem saluran paip susulan peristiwa di Putra Heights. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Petronas Gas Berhad (PGB) mengerakkan usaha memastikan keselamatan awam dan menyokong komuniti yang terjejas, serta mengekalkan kesinambungan bekalan gas sejak peristiwa kebakaran di Putra Heights pada 1 April.

Mengambil maklum dapatan pihak berkuasa berhubung peristiwa letupan dan kebakaran paip gas itu, semalam, PGB ulangi komitmen pada sepenuh ketelusan dan penambahbaikan berterusan.

PGB juga komited pada menjaga mereka yang terjejas, dan meneruskan kerjasama dengan pasukan petugas khas dan pihak berkuasa.

“Peristiwa itu tidak pernah berlaku dalam sejarah sistem penghantaran gas kami, dan kami memahami kebimbangan orang ramai mengenai keselamatan sistem saluran paip, terutama kesinambungan aliran gas melalui rangkaian kami,” menurut kenyataan.

Menurut PGB, Sistem Penggunaan Gas Semenanjung direka dengan pelbagai lapisan keselamatan dan daya tahan, disokong oleh lebih tiga dekad pengalaman dalam kejuruteraan dan operasi.

“Sistem dan kakitangan kami bekerja secara berterusan untuk memastikan penghantaran gas yang selamat dan boleh dipercayai ke rumah, industri dan sektor kuasa negara,” katanya.

Pasukan penyiasat menyimpulkan faktor persekitaran di bawah permukaan tanah merupakan punca utama paip tersebut gagal, dan pergeseran logam paip gas kemudian mencetuskan api yang meledak pada jam 8:08 pagi 1 April, menurut kenyataan Menteri Besar Amirudin Shari.

Faktor persekitaran itu termasuk keadaan tanah yang kurang stabil, pengumpulan air bawah tanah dalam tempoh masa panjang yang menyebabkan tanah kawasan semakin lembut, struktur saliran monsun dan ‘culvert’ yang terkesan akibat keadaan tanah, serta tekanan iklim dan kepadatan kawasan penduduk.

Katanya, siasatan pasukan teknikal mendapati bahawa sejak talian paip gas itu ditauliahkan pada tahun 2000, telah berlaku mendapan tanah sebanyak 24.3cm dalam tempoh 25 tahun, dan kesan mendapan tanah menyebabkan berlakunya pergerakan kepada paip gas sebanyak 15.9cm.

Pada sidang media semalam, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) memaklumkan Petronas mengenal pasti bahagian lain dalam rangkaian saluran paip gas yang mungkin terjejas oleh isu sama yang membawa kepada peristiwa 1 April.

Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum Husdin Che Amat berkata JKKP telah berbincang dengan Petronas mengenai tindakan dan langkah yang perlu diambil bagi jangka masa pendek dan panjang.

Husdin tidak menyatakan lokasi bahagian yang dikenal pasti Petronas untuk kerja-kerja penambahbaikan tetapi berkata saluran paip itu sepanjang 2,680km, dari Kerteh ke Segamat, ke sempadan Singapura, dari Pengerang ke Segamat, dan ke sempadan Thailand.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.