Mi rebus Aidilfitri terakhir ibu, rindu yang tak terubat

Mi rebus Aidilfitri terakhir ibu, rindu yang tak terubat

Anak yatim Nur Iman Zahra imbau kenangan Aidilfitri ketika ibu bapanya masih ada sebelum menyambut panggilan ilahi.

Nur Iman Zahra Basir (tengah) dan dua adiknya Nur Iman Damia (kiri) dan Muhammad Daniel Iman kehilangan ibu bapa mereka pada usia muda.
PUTRAJAYA:
Bagi kebanyakan orang, Aidilfitri menjadi saat paling dinantikan untuk menyambut kemenangan selepas sebulan berpuasa.

Namun, bagi Nur Iman Zahra Basir, 15, Nur Iman Damia, 13, dan Muhammad Daniel Iman, 10, Syawal kali ini disambut sedikit hiba selepas bapa mereka, Muhammad Basir Abu Bakar meninggal dunia pada 15 Feb lalu.

Bekas wartawan Utusan Malaysia itu meninggal dunia akibat penyakit jantung. Pada 17 Okt 2023, ibu mereka Nor Azlina Jaafar, mantan jurugambar di syarikat sama menyambut panggilan ilahi disebabkan jangkitan kuman pada hati.

Bukan melawan takdir, namun kerinduan tiga beradik yang kini menjadi anak yatim itu terhadap ibu bapa mereka semakin kuat lebih-lebih lagi menjelang Syawal. Tiada lagi senyuman ibu dan ayah mengejutkan mereka untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Muhammad Basir Abu Bakar meninggal dunia pada 15 Feb lalu manakala isterinya Nor Azlina Jaafar menyambut panggilan ilahi pada 17 Okt 2023. (Gambar Facebook)

Dalam memori mereka yang tinggal hanya kenangan – dan satunya hidangan mi rebus, air tangan Nor Azlina yang menjadi kegemaran Zahra.

Syawal dua tahun lalu, mi rebus itulah juadah pertama mereka sekeluarga pada pagi raya yang tidak disangka kali terakhir dihidangkan Nor Azalina untuk keluarga kesayangannya.

Di sebalik senyuman, Nur Iman Zahra sedar tanggungjawab besar dipikul sebagai anak sulung selepas bapanya Muhammad Basir Abu Bakar dan ibu Nor Azlina Jaafar meninggal dunia.

“Walaupun saya suka semua masakan ibu, mi rebus itu yang akan saya rindui sampai bila-bila.

“Ibu suka memasak dan orang lain juga suka masakannya,” katanya sayu ketika ditemui FMT, baru-baru ini.

Selepas pemergian ibu bapa, ketiga-tiganya kini dijaga ibu saudara mereka Siti Salha Abu Bakar dan suami Bahari Ahmad Mustapha di Kota Perdana, Seri Kembangan.

Tiga beradik itu adakala membantu ibu dan bapa saudara mereka yang berniaga di bazar Putrajaya pada Ramadan, baru-baru ini.

Bagi Zahra, Aidilfitri bukan lagi tentang baju baharu atau hidangan enak di atas meja. Paling penting menunaikan satu niat – menziarahi pusara ibu bapanya pada pagi raya di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Cheras.

“Saya akan bawa adik-adik ke kubur ibu dan ayah dulu, sebelum ikut keluarga mak cik pulang beraya,” luahnya.

Belajar kuat demi masa depan

Sejak ketiadaan ibu bapa, Zahra sedar kehidupannya serta dua adik beradik berubah sepenuhnya, jika dulu Basir dan Azlina menjemput mereka di sekolah namun itu semua hanya tinggal kenangan.

Sebagai anak sulung, Zahra mengakui perlu kuat untuk menjaga dua adiknya melalui cabaran dan paling penting berjaya dalam pelajaran-antara pesanan terakhir Basir sebelum meninggal dunia.

“Ayah pesan kalau dia sudah tiada, jaga adik-adik kerana dia tahu saya kuat.

“Saya perlu kuat demi adik-adik dan teruskan kehidupan, termasuk dalam pelajaran. Itu sahaja yang boleh saya lakukan untuk membalas jasa ibu dan ayah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.