
PETALING JAYA: Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2026 hari ini, dengan peruntukan berjumlah RM419.2 bilion.
Angka itu mewakili 19.7% daripada KDNK, iaitu peningkatan sebanyak 1.7% berbanding belanjawan disemak 2025.
Seperti kelaziman, perbelanjaan mengurus (OE) menelan sebahagian besar belanjawan persekutuan kali ini, iaitu 80.7% bersamaan RM338.2 bilion.
Berikut antara butiran Belanjawan 2026 dibentangkan Anwar di Parlimen:
- Pengecualian cukai kenderaan dihadkan tidak lebih RM300,000 di Langkawi dan Labuan mulai 1 Jan.
- Pemberian khas Sabah dan Sarawak masing-masing naik kepada RM600 juta.
- Peruntukan TVET naik kepada RM7.9 bilion berbanding RM7.5 bilion tahun ini.
- Dana dalaman RM500 juta DBKL digunakan untuk tambah baik kemudahan penjaja serta PPR di ibu negara.
- Pemilik teksi dan kereta sewa persendirian terus dapat pengecualian 100% duti eksais dan cukai jualan untuk beli kereta baharu jenama nasional.
- Pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 bagi fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program budaya.
- Peruntukan RM1 bilion untuk perluas inisiatif Ikhtiar Madani Untuk Rakyat, termasuk Sejahtera Komuniti Madani.
- Pelbagai subsidi dan bantuan kepada pesawah bernilai RM2.62 bilion, termasuk subsidi tanaman padi, baja, benih dan insentif pengeluaran padi.
- Kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk usahawan tempatan ditingkatkan sehingga RM50 billion.
- RM2.2 bilion untuk laksana 43 projek rancangan tebatan banjir (RTB) berkeutamaan tinggi di seluruh negara.
- Harga diesel bersubsidi RM1.65 seliter, elaun sara hidup sehingga RM300 dan insentif hasil tangkapan dikekalkan untuk nelayan.
- SARA RM100 diberikan sekali lagi kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas Februari depan.
- Sempena Deepavali, bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 akan disegerakan, diskaun tol 50% untuk dua hari
- RM46.5 bilion diperuntuk kepada Kementerian Kesihatan, 4,500 doktor kontrak ditawar jawatan tetap tahun depan.
- Tanah rizab Melayu ditambah 50 ekar di Bandar Malaysia.
- Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 diperluas kepada yuran pusat jagaan harian atau pusat transit berdaftar untuk anak berusia hingga 12 tahun.
- Duti eksais rokok naik 2 sen sebatang, manakala bagi produk minuman keras, naik 10% mulai 1 Nov ini.
- RM15 bilion diperuntukkan bagi STR dan SARA tahun depan, peningkatan sebanyak RM2 billion.
- Pendidikan percuma buat 5,800 pelajar miskin ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
- Lebih RM580 juta diperuntuk giat pembangunan sukan negara, termasuk pemerkasaan program ‘Road to Gold’, persediaan Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2027.
- Gaji semua anggota Jemaah Menteri akan terus dipotong 20%.
- Penjawat awam terima bantuan khas RM500, pesara kerajaan terima RM250 sempena Aidilfitri.
- Insentif geran padanan disedia sehingga RM4,000 galak pemilik lupus kenderaan lama, beli kereta baharu jenama nasional.
- Gaji hakim naik sehingga 30% mulai 1 Jan 2026, selepas 10 tahun tiada kenaikan.