
Jolie berkata, beliau “berbesar hati” dapat menemui sukarelawan bantuan kemanusiaan di lintasan itu sambil diiringi delegasi AS dan disambut bekas pegawai serta petugas sedia ada, menurut laporan akhbar milik kerajaan, Al Ahram.
Seorang sukarelawan Bulan Sabit Merah Mesir memaklumkan ribuan lori bantuan sedang menunggu di lintasan berkenaan untuk menyalurkan bantuan segera kepada 2.2 juta penduduk Gaza.
Dalam lawatan itu, Jolie, 50, turut melawat beberapa lokasi utama di wilayah berkenaan, termasuk meninjau gudang logistik dikhaskan bagi menyokong rakyat Palestin di Gaza serta menilai usaha Mesir menerima dan mengagihkan bantuan kemanusiaan.
Jolie dalam lawatan itu turut mengumumkan rancangan menubuhkan sebuah perkampungan bantuan bagi anak yatim di Gaza, yang akan menyediakan tempat perlindungan kepada kanak-kanak kehilangan ahli keluarga akibat serangan Israel.
Jelasnya, projek itu akan menawarkan perlindungan, penjagaan kesihatan, pendidikan serta sokongan psikologi kerana kanak-kanak di Gaza berhak menikmati kehidupan dan harapan seperti kanak-kanak lain di seluruh dunia.
Jolie pernah dilantik utusan khas Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Rafah satu-satunya lintasan sempadan di Semenanjung Gaza yang tidak menghubungkan wilayah itu secara langsung dengan Israel.
Lintasan berkenaan ditutup semasa perang di Gaza dan pertubuhan bantuan kemanusiaan sejak sekian lama menggesa ia dibuka.