
Sepanjang lima dekad dalam industri muzik, pemilik nama sebenar Hashim Said ini menghasilkan ribuan karya, termasuk lebih 50 lagu raya malar segar yang masih dimainkan setiap kali Syawal menjelang.
Antara ciptaan komposer berasal dari Singapura itu yang terus menjadi siulan ramai ialah Balik Kampung dan Dari Jauh Ku Pohon Maaf (Sudirman Arshad), Menjelang Hari Raya (DJ Dave), Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone), Salam Aidilfitri (Jamal Abdillah), serta Hari Mulia (Sheila Majid).
Malah, menurut isterinya, Norizan Yeob, sebelum menghembuskan nafas terakhir, S Atan sempat menggubah dua lagu raya baharu, membuktikan kecintaannya yang mendalam terhadap dunia muzik.
Salah satunya berjudul Bila Tahmid Bergema, dinyanyikan oleh penyanyi veteran Khadijah Ibrahim bersama Soma, Noorshila Amin, Rozita Rohaizad, dan Putri Balqis, dengan lirik ciptaan Siso Kopratasa.
Norizan berkata, S Atan turut dihubungi oleh wakil kepada penyanyi popular Ernie Zekri yang memintanya menggubah lagu raya berentak joget, seminggu sebelum pemergiannya.

Namun, dia tidak dapat memastikan perkembangan lanjut sama ada karya itu sudah dirakam atau sebaliknya.
“Saya tegur abang masih ambil ‘job’ ke? Dia kata tak apa abang boleh buat lagu raya itu…maksudnya sampai ke akhir hayat dia cipta lagu.
“Abang (S Atan) kalau bab muzik memang cepat, bila menggubah lagu, ilham datang seperti air mengalir,” katanya yang terharu dengan pelbagai pengiktirafan diberikan kepada suaminya atas sumbangan kepada dunia seni.
Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-36 pada Oktober lalu menjadi pengiktirafan terakhir diterima S Atan sebelum meninggal dunia.
Mudah hasilkan Balik Kampung
Berkongsi kisah di sebalik lagu Balik Kampung yang dicipta pada 1984, Norizan berkata suaminya mendapat inspirasi selepas merasai sendiri keseronokan pulang ke kampung halaman.
“Apabila bertemu arwah Sudirman yang mencipta lirik, lagu itu terhasil dengan begitu cepat…semua orang suka lagu itu.
“Mood balik kampung itu ada, tak kira sempena Hari Raya atau apa jua perayaan,” katanya yang bangga dengan pengiktirafan peminat menggelar suaminya sebagai raja lagu raya.

Setiap kali mendengar lagu raya ciptaannya dimainkan, S Atan sering berseloroh dengan anak-anak mengenai bayaran royalti bakal diterima.
“Haa..dah ada duit raya, katanya sambil tersenyum,” kenang Norizan dengan gelagat suaminya itu.
“Namun, bayaran royalti itu sebenarnya tidaklah besar mana,” katanya.
Tak berkira
Di sebalik wajahnya yang tegas, S Atan sebenarnya seorang yang murah hati dan tidak pernah berkira dalam berkongsi ilmu muzik.
“Ketika sakit pun, kalau ada orang bertanya tentang muzik, abang akan bangun ke piano untuk memberi contoh…kalau tak faham, dia sanggup ulang sehingga pelajarnya betul-betul faham.”
Menurut Norizan, ketika mengajar di sebuah kolej muzik, S Atan sering memberikan kelas tambahan secara percuma kepada pelajar yang kurang berkemampuan.
“Namun, lama-kelamaan seorang demi seorang tidak lagi datang. Mungkin kerana diberi percuma, mereka kurang menghargainya.”
Norizan turut menceritakan bagaimana suaminya sering menghadiri program kebajikan anjuran persatuan artis walaupun dalam keadaan kurang sihat.
“Macam contoh dalam satu program mengumpul dana bantuan di Sabah pada Oktober lalu, abang tetap mahu pergi dan sanggup cari tong oksigen mudah alih.
“Begitu semangatnya untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya.