Australia tunjuk minat pelaburan di Perlis

Australia tunjuk minat pelaburan di Perlis

Pesuruhjaya tinggi Australia berharap dapat menarik pelabur negara itu meninjau potensi ditawarkan Perlis.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke menghadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Balai Menghadap Biru, Istana Arau, malam tadi.
PETALING JAYA:
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Danielle Heinecke menyatakan minat terhadap perancangan pelaburan di Perlis, khususnya dalam sektor perindustrian serta Pelabuhan Darat Perlis (PIP) yang berpotensi diketengahkan kepada syarikat negara itu.

Beliau berkata, pihaknya akan berkongsi maklumat berkaitan peluang pelaburan di negeri itu kepada syarikat yang berminat, selain berharap dapat menarik pelabur Australia untuk datang meninjau potensi ditawarkan Perlis.

“Kami akan cuba berkongsi lebih banyak maklumat dengan syarikat yang berminat dan berharap dapat menarik syarikat Australia untuk datang meneroka peluang pelaburan di Perlis,” katanya.

Heinecke berkata demikian kepada pemberita sebelum menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, di Balai Menghadap Biru, Istana Arau, malam tadi.

Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Beliau yang diiringi Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur, Angela Rendall, berkata lawatan itu adalah kunjungan pertamanya ke Perlis dan memberi peluang untuk memahami lebih dekat potensi pelaburan negeri berkenaan, khususnya pembangunan sektor perindustrian dan usaha menarik pelaburan baharu.

Selepas sesi menghadap, Heinecke diraikan dalam jamuan santapan malam dihoskan Tuanku Syed Sirajuddin bersama Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah.

Heinecke berada di Perlis selama dua hari bermula 19 hingga 20 Jan sempena lawatan kerja, yang merangkumi sesi taklimat pembangunan negeri oleh Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Perlis (BPEN) dan Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA), selain kunjungan hormat ke atas menteri besar.

Lawatan itu turut melibatkan penyertaan dalam program Kayuhan MAIPs Peduli bersama Raja Muda Perlis, lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, penyampaian ucaptama dalam Ambassador Talk Series bertajuk ‘Strengthening Australian and Malaysian Ties Through Education’ di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), serta sesi pertemuan dengan alumni penuntut Australia di Perlis.

Selain itu, Heinecke mengadakan perbincangan kerjasama dengan naib canselor, rektor serta kepimpinan tertinggi institusi pengajian tinggi di negeri ini sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.