
R Rajagopal, yang pernah berkhidmat di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, berkata Najib menjadi suspek selepas polis menemui jejak wang dana 1MDB memasuki akaun banknya.
Beliau berkata Bukit Aman tidak mempunyai sebarang petunjuk mengenai individu-individu yang berpotensi menjadi suspek semasa beliau mengambil alih siasatan pada 2015.
“(Pada peringkat awal siasatan) kami mengambil keterangan pengadu (Khairuddin Abu Hassan) dan peroleh beberapa dokumen.
“Satu serbuan telah dilakukan (di pejabat 1MDB) pada Julai 2015,” Rajagopal beritahu mahkamah.
Semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib, Rajagopal berkata beliau sedar bahawa 1MDB menjadi topik hangat di dalam dan luar negara ketika beliau mengambil alih siasatan.
Akram: Adakah terdapat juga dakwaan bahawa bekas perdana menteri (Najib) terbabit?
Rajagopal: Ya.
Beliau juga beritahu mahkamah satu pasukan petugas yang terdiri daripada wakil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, polis, Bank Negara dan Jabatan Peguam Negara ditubuhkan pada 2015 untuk menyiasat dakwaan yang dibuat terhadap 1MDB.
“Pasukan petugas beri kami arahan mengenai siasatan kami,” katanya.
Beliau berkata beliau menghadiri mesyuarat pasukan petugas yang diadakan pada 4 Julai tahun itu, mewakili Bukit Aman.
Rajagopal juga mempertahankan keterangannya dalam perbicaraan SRC International Najib sebelum ini.
Beliau sebelum ini beri keterangan bahawa ketua SPRM ketika itu, Abu Kassim Mohamed, mencadangkan supaya peguam negara ketika itu, Abdul Gani Patail,mendakwa Najib berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta, yang didepositkan ke dalam akaun perdana menteri ketika itu.
Akram: Adakah anda ingat bahawa (pengganti Gani) Apandi (Ali) mengarahkan kertas siasatan (terhadap Najib) ditutup pada 2016?
Rajagopal: Itu tidak terpakai pada siasatan polis. Ia hanya untuk kes SPRM.
Sultan Terengganu hentikan terbitan bon
Mahkamah juga diberitahu bahawa Rajagopal mengambil keterangan daripada bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dan beberapa yang lain pada 2016. Shahrol saksi pendakwaan dalam kes itu.
Beliau berkata Shahrol beritahu Bukit Aman bahawa Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, mengarahkan pengeluaran nota jangka sederhana Islam digantung.
Bon itu digunakan untuk mendapatkan pinjaman RM5 bilion untuk dana berdaulat kerajaan negeri, Terengganu Investment Authority (TIA).
“Shahrol beritahu kami bahawa dia menelefon Jho Low (Low Taek Jho) selepas bertemu Sultan Mizan, tetapi Jho Low meminta beliau memaklumkan kepada perdana menteri kerana kerajaan persekutuan menjamin bon itu,” katanya.
“Shahrol dan (kemudian pengarah) Ismee (Ismail) pergi berjumpa Datuk Seri (Najib) di rumahnya di Langgak Duta untuk berbincang mengenainya.”
Beliau berkata Shahrol memaklumkan kepadanya bahawa Najib mengarahkan supaya pengeluaran nota jangka sederhana Islam diteruskan dan berkata Najib “akan berbincang dengan Tuanku”.
Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa berhubung RM2.28 bilion yang didakwa dana 1MDB yang didepositkan ke dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 7 April.