
Sivamurugan Pandian, dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata Perikatan Nasional dan Barisan Nasional dijangka memanfaatkan isu-isu ini, khususnya berkaitan kuil, untuk keuntungan mereka.
Beliau berkata PN mungkin akan menyokong penuh pembinaan masjid baharu yang dicadangkan di Jalan Masjid India di Kuala Lumpur, manakala Timbalan Presiden MIC M Saravanan akan mengetengahkan penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman dan pewartaan tapak baharu.
“Setiap pihak akan cuba memainkan isu untuk manfaat politik. Pihak berkuasa perlu bertindak jika sentimen meningkat — untuk mengelakkan polarisasi,” kata Sivamurugan kepada FMT.

Kontroversi tercetus selepas Jakel Trading Sdn Bhd, pemilik tanah di mana kuil berusia seabad itu didirikan, mengumumkan rancangan untuk membina sebuah masjid baharu di situ.
Isu selesai selepas jawatankuasa kuil bersetuju untuk berpindah ke tapak yang terletak hanya 50m dari situ, menurut Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa.
Sivamurugan berkata pengundi India membentuk kira-kira 14.3% daripada pengundi di DUN Ayer Kuning, yang terletak dalam Parlimen Tapah yang mana Saravanan wakil rakyatnya.
Beliau berkata isu itu masih sensitif tetapi mungkin tidak akan melarat dengan tercapainya penyelesaian ini.
“Keputusan untuk menempatkan semula kuil dengan persetujuan semua pihak termasuk jawatankuasa kuil sedikit sebanyak meredakan keadaan.
“Pengundi mungkin akan terima baik penglibatan Saravanan dalam penyelesaian itu,” katanya.
Isu tempatan jadi keutamaan
Walaupun isu nasional akan bergema semasa berkempen, penduduk dijangka tumpu pada persoalan periuk nasi, dengan kos sara hidup, pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan prasarana antara kebimbangan utama.

“PRK biasanya berkisar tentang isu tempatan. Pengundi ingin tahu apa yang boleh diberikan oleh calon untuk kawasan mereka dan jika kerajaan telah mengotakan janji untuk kawasan itu,” kata James Chin dari Universiti Tasmania.
Walaupun isu kuil nampaknya telah diselesaikan secara baik, satu lagi insiden — di mana seorang lelaki Melayu berusia 65 tahun ditangkap kerana menampar seorang lelaki Cina kerana makan pada waktu puasa — telah mencetuskan rasa kurang senang, terutama dalam kalangan pengundi bukan Melayu.
Chin berkata walaupun orang ramai semakin lali terhadap kejadian sebegitu, kes seperti itu masih berupaya mempengaruhi pandangan.
“Walaupun isu kuil mungkin tidak melarat, insiden tampar satu lagi peringatan tentang ketegangan yang belum selesai,” tambahnya.
Potensi pengundi India alih sokongan
Paniirselvam Jayaraman dari Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia berkata pengundi India boleh memainkan peranan penting memandangkan perpecahan undi Melayu antara PN dan BN.

“Pilihan raya lalu menunjukkan betapa perubahan kecil dalam undi India boleh menentukan pemenang.
“Kemunculan kumpulan seperti Urimai yang menentang kerajaan juga mungkin mempengaruhi keputusan pilihan raya,” katanya kepada FMT.
Sementara itu, seorang ahli politik veteran yang enggan namanya disiarkan beri amaran bahawa masyarakat India “amat tidak berpuas hati” dengan kerajaan. Beliau berkata isu kuil berkemungkinan akan menambah perasaan tidak puas hati itu.
“Saya tidak pasti bagaimana isu ini akan beri kesan pada keputusan PRK akan datang. Ia boleh menyebabkan pengundi India tidak mahu keluar mengundi,” katanya.
Sekalipun mereka keluar mengundi, mereka mungkin tidak akan memilih calon kerajaan, tambah ahli politik itu. “Ramai dalam masyarakat India merasakan bahawa mereka telah dipandang remeh.”
Beliau juga berkata walaupun isu kuil telah selesai, cara ia dikendalikan — termasuk berkeras meneruskan upacara pecah tanah ketika isu masih belum selesai — telah meninggalkan rasa pahit, kata ahli politik itu.
“Masyarakat India amat kecewa dan terluka dan mereka hanya menunggu masa untuk menyatakan kekecewaan ini,” kata ahli politik itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK Ayer Kuning pada 26 April, dengan penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal pada 22 April.
PRK berlaku susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, pada 22 Feb.