
PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan (Mindef) melancarkan Perwira Super App untuk mempercepatkan transformasi digital bagi membangunkan ekonomi serta memberi pelbagai manfaat kepada warganya.
Mindef dalam kenyataan berkata aplikasi inovatif dibangunkan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) Network dengan kerjasama Mastercard International telah dirasmikan oleh Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin, semalam.
“Perwira Super App direka khusus untuk memberi manfaat kepada warga pertahanan, veteran dan anak syarikat di bawahnya dalam aspek ekonomi dan kesejahteraan digital.
“Pelancaran aplikasi ini mencerminkan komitmen Mindef dalam memperkasakan komuniti pertahanan melalui teknologi digital yang lebih cekap dan selamat,” katanya.
Menurutnya, antara fungsi utama disediakan dalam aplikasi itu adalah:
- Perkhidmatan kewangan – Menyediakan akses kepada status gaji terkini, e-dompet selamat, pembayaran bil, serta analisis bagi meningkatkan literasi kewangan pengguna.
- E-Marketplace – Memudahkan pembelian atas talian di e-Marketplace serta Pernama Online Store.
- Diskaun eksklusif & ganjaran kesetiaan – Menawarkan penjimatan tambahan melalui diskaun khas dan sistem mata ganjaran yang boleh ditebus untuk pelbagai hadiah dan pulangan tunai.
- Government Connect Module – Mengukuhkan komunikasi antara kepimpinan Mindef dan anggota ATM menerusi mesej langsung serta pengumuman berpusat.
- Ciri kesihatan & kesejahteraan – Tempahan janji temu hospital secara digital, fungsi SOS kecemasan serta pemantauan kesihatan untuk memastikan kesejahteraan anggota ATM.
- Hab e-Learning – Menyediakan akses kepada sumber pembelajaran dalam bidang kesihatan dan pengurusan kewangan.