
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata mereka kini ditempatkan di markas pentadbiran masing-masing sementara siasatan kes itu dijalankan oleh ATM bersama pihak berkuasa.
“Kita tegas dalam siasatan bagi memastikan semua pihak mendapat keadilan sewajarnya, jika didapati bersalah, tindakan undang-undang akan diambil kerana keutamaan kita ialah integriti, namun sekiranya tidak, mereka akan dipulangkan kepada (bahagian) operasi,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) mengenai langkah kawalan kerosakan diambil Kementerian Pertahanan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat ekoran pendedahan media berhubung penjualan maklumat keselamatan taktikal negara oleh lima pegawai ATM kepada pihak luar.
Adly berkata, Kementerian Pertahanan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan kes itu ditangani sebaiknya, selain menjalankan siasatan dalaman berhubung isu kebocoran maklumat yang didakwa berlaku.
“Dari sudut pemulihan keyakinan rakyat, kementerian melalui ATM menekankan aspek kesedaran keselamatan dan pematuhan prosedur, termasuk memperkukuh unit integriti di setiap formasi serta perkhidmatan, selain mempergiat program didikan keselamatan, etika dan integriti bagi warga ATM.”
Sebelum ini, Panglima Angkatan Tentera, Mohd Nizam Jaffar dilaporkan berkata, sebahagian anggota ATM ditahan sekitar Lembah Klang dalam operasi khas SPRM Ogos lalu kerana dipercayai membocorkan maklumat kepada sindiket penyeludupan di perairan Selat Melaka hingga Johor, ialah anggota Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia.