
Menurut sumber, pegawai SPRM hadir ke kementerian itu kira-kira 11.30 pagi bagi menyiasat beberapa projek melibatkan Tentera Darat sejak 2023 hingga kini.
Sumber itu memaklumkan siasatan akan memberi tumpuan kepada projek-projek yang dilaksanakan melalui kaedah perolehan tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab (PTJ) Tentera Darat.
“Transaksi kewangan mencurigakan yang dikaitkan dengan individu-individu tertentu yang dinamakan dalam dakwaan tersebut juga akan diteliti,” kata sumber itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 berhubung dakwaan rasuah melibatkan seorang pegawai kanan tentera.
“Semua siasatan dijalankan secara bebas dan profesional, berasaskan fakta serta bukti, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.”
Menurut SPRM, pihaknya komited memastikan siasatan dijalankan tanpa campur tangan pihak lain, bagi mengekalkan integriti dan ketelusan proses.
Kementerian Pertahanan juga dikatakan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dalam membantu kelancaran siasatan.
Setakat ini, tiada pegawai tentera lain yang ditahan dan siasatan masih di peringkat awal.