Jadikan PDK hab komuniti OKU, bukan sekadar pusat terapi

Jadikan PDK hab komuniti OKU, bukan sekadar pusat terapi

PDK harus diperkasa untuk juga tawar sokongan yang mampu tingkat kualiti hidup OKU dan keluarga, kata Dr Taufiq Johari.

Ahli Parlimen gesa agar peranan PDK diperluas dengan tawar sokongan pekerjaan serta latihan vokasional ringan untuk OKU. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan perlu memperkasakan peranan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) sebagai hab pembangunan komuniti orang kurang upaya (OKU) dengan menawarkan sokongan pekerjaan, latihan vokasional ringan serta kaunseling keluarga bagi membuka peluang hidup yang lebih bermakna kepada golongan itu.

Dr Taufiq Johari (PH- Sungai Petani) berkata, PDK tidak seharusnya menjadi lokasi terapi semata-mata, sebaliknya perlu berfungsi sebagai pintu masuk kepada sistem sokongan komprehensif yang dapat meningkatkan kualiti hidup OKU dan keluarga mereka.

“Selain itu, pegawai PDK perlu diperkukuh, kebajikan perlu dijaga,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, berkaitan penjagaan orang tua, Taufiq berkata, data menunjukkan lebih 15% rakyat Malaysia kini berusia 60 tahun ke atas pada 2030, meletakkan Malaysia sebagai negara menua.

Justeru, beliau berkata, kerajaan perlu memperluas latihan berasaskan komuniti untuk penjaga warga emas, dengan modul kejururawatan asas, kesihatan mental dan pengurusan demensia.

Katanya, latihan itu boleh dilaksanakan melalui kerjasama antara Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), PDK dan politeknik TVET sedia ada.

“Apabila penjaga dilatih dengan baik, kita bukan sahaja meningkatkan kualiti penjagaan, tetapi juga membuka laluan kerjaya bernilai tinggi untuk wanita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.