
Ahli ekonomi khuatir menaikkan had umur persaraan wajib akan mencetuskan ‘krisis letak jawatan’ dalam kalangan penjawat awam berprestasi tinggi yang ingin mendaki tangga kerjaya dan sedia menggantikan ‘senior’ mereka.
Aimi Zulhazmi Rashid dari Universiti Kuala Lumpur menyorot perhatian kepada aspek ini, selain impak kepada kewangan kerajaan terutama pertambahan pembayaran pencen.
“Apakah akan memberikan kesan negatif dari aspek moral dan penurunan motivasi, malah menyebabkan ‘junior’ yang baik prestasinya, letak jawatan dan menyertai sektor swasta?” katanya kepada FMT.
Menurutnya, penurunan motivasi akan memberikan kesan kepada sektor perkhidmatan awam untuk lima ke 10 tahun selepas pelaksanaan, “menyebabkan kerajaan kerugian ‘junior-junior’ yang bagus dan berprestasi tinggi meninggalkan perjawatan awam”.
Beliau mencadangkan perpanjangan umur persaraan wajib tersebut diberikan kepada penjawat awam gred 51 ke bawah sahaja. “Ini dapat membantu motivasi pekerja di bawah gred 51 untuk terus bekerja bagi penjawat awam.”
Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 mengumumkan kerajaan akan meneliti semula umur persaraan wajib selaras dengan status Malaysia yang menuju ke arah negara tua.
Namun, beliau menegaskan kesan terhadap peluang pekerjaan perlu diambil kira sebelum keputusan akhir dibuat. Ketika ini, umur persaraan wajib bagi penjawat awam ditetapkan pada 60 tahun.
Pada 6 Ogos lalu, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dilapor berkata satu kajian komprehensif akan dilaksanakan Jabatan Perkhidmatan Awam berhubung cadangan menaikkan umur persaraan wajib.
Ida Yasin dari Putra Business School berkata antara isu di sebalik negara menua adalah kos menanggung golongan berumur panjang apabila mereka tidak bekerja. “Itu dari satu sisi lah tapi dari satu sisi lain, kita melihat bahawa negara kita ada isu tentang pengangguran orang muda.”
Antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan adalah permohonan melanjutkan had usia persaraan seseorang bergantung pada saringan kesihatan.
“Kalau saringan kesihatan dia bagus maknanya kita boleh lanjutkan had usia persaraan ke 65,” katanya. “Kalau tak baik maka beri peluang kepada orang muda.”
Yusof Saari dari Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan berkata had umur persaraan perlu dirangka secara dinamik, inklusif dan tidak terhad kepada sektor awam.
“Ia mesti merangkumi sektor awam dan swasta. Dualiti sistem akan menimbulkan ketidakseimbang kerana kedua-dua sektor saling berhubung dan berinteraksi dalam pasaran buruh serta ekonomi.
“Pada masa sama, kerajaan wajar melaksanakan reformasi gaji, produktiviti dan pembangunan kemahiran supaya pekerja berusia kekal relevan dan berdaya saing,” katanya.