
Ian Tan, ketua Pusat Pengajian Sains Komputer dan Matematik di Heriot-Watt University Malaysia, berkata platform pemesejan seperti WhatsApp antara sumber terbesar kebocoran data yang membawa kepada panggilan spam, cubaan pancingan data dan penipuan.
“Daripada perspektif saya, banyak maklumat dikongsi apabila menyertai kumpulan WhatsApp. Dalam kumpulan sangat besar, ia sukar untuk mengawal siapa yang mungkin membocorkan maklumat,” katanya kepada FMT.
“Sebagai contoh, jika anda memiliki hartanah di sebuah kondominium, biasanya terdapat kumpulan WhatsApp untuk penyewa atau pemilik dan dalam kumpulan itu nama, nombor unit dan nombor telefon anda semuanya kelihatan, menjadikannya (WhatsApp) antara tempat tidak diketahui terbesar di mana maklumat peribadi dibocorkan.”
Dalam komuniti WhatsApp, pengguna boleh menyembunyikan nombor telefon mereka daripada ahli lain kecuali pentadbir, ciri yang tiada dalam kumpulan WhatsApp biasa.
Dengan nombor telefon digunakan secara meluas atas urusan kerja dan peribadi, Tan berkata, merahsiakannya hampir mustahil.
“Malah, memberikan kad perniagaan mendedahkan maklumat ini. Untuk menanganinya, kaedah alternatif perlu diterokai bagi menggantikan nombor telefon sebagai satu bentuk pengenalan untuk meningkatkan privasi.”
Tan turut menggesa pengguna berwaspada dengan tetapan media sosial dan tidak berkongsi maklumat seperti tarikh lahir secara terbuka.
“Kita perlu menutup peringatan bagi hari lahir kerana tarikh lahir membentuk enam angka pertama nombor kad pengenalan kita yang sudah mendedahkan maklumat peribadi kritikal.”
Pada 2 Mac lalu, syarikat pengurusan risiko digital Gogolook melaporkan Malaysia mencatatkan kadar kebocoran data peribadi tertinggi dalam kalangan pasaran utama Asia, termasuk Taiwan, Thailand, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong dan Filipina.
Laporan itu turut mendapati panggilan penipuan di Malaysia melonjak 82.81% tahun lalu yang menekankan keperluan mendesak bagi langkah perlindungan data lebih kukuh.
Murugason Thangaratnam, ketua pegawai eksekutif syarikat keselamatan siber NovemCS berkata, pengguna perlu celik digital dan mengikuti amalan terbaik bagi mencegah penipuan.
Menurutnya, pengguna perlu mengelak daripada menekan pautan mencurigakan, menggunakan WiFi awam bagi transaksi dan kata laluan kukuh serta unik dengan pengesahan berbilang faktor.
Langkah keselamatan lain termasuk memantau akaun untuk aktiviti mencurigakan, memuat turun aplikasi hanya daripada sumber rasmi dan berwaspada terhadap penipuan seperti tawaran pekerjaan palsu, tuntutan hadiah serta penipuan percintaan.
“Sentiasa ingat mantera ini, jika ia kelihatan terlalu bagus untuk menjadi kenyataan, kebiasaannya ia palsu.”