Pembantu bidas ‘kempen’ burukkan Amirudin

Pembantu bidas ‘kempen’ burukkan Amirudin

Setiausaha akhbar kepada menteri besar berkata individu di sebalik dakwaan itu patut lapor kepada SPRM bersekali dengan bukti.

amirudin shari
Setiausaha akhbar kepada Menteri Besar Amirudin Shari bidas cerita-cita yang disebarkan dalam WhatsApp.
PETALING JAYA:
Pembantu kepada Amirudin Shari membidas apa yang dikatakan kempen memburukkan Amirudin di sebalik kemunculan dakwaan-dakwaan mengaitkan menteri besar Selangor itu.

Setiausaha Akhbar Jay Jay Denis berkata penciptaan satu lagi kumpulan WhatsApp menyusuli dakwaan terhadap seorang pegawai lain, dua minggu lalu, menunjukkan terdapat suatu cubaan terancang untuk mencemar nama baik Amirudin, yang juga naib presiden PKR.

Beliau menafikan dakwaan terbaru itu, mengatakan individu di sebalik dakwaan-dakwaan ini patut melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersekali dengan bukti.

“Menyebarkan cerita secara sembunyi-sembunyi dalam kumpulan WhatsApp menunjukkan ini cubaan memburukkan pejabat menteri besar, oleh individu yang tidak berpuas hati dan terdesak demi kerjaya politik mereka,” katanya kepada FMT.

Awal bulan ini, seorang individu mewujudkan kumpulan WhatsApp baharu yang disertai oleh Adun-adun Selangor dari pihak kerajaan dan pembangkang, termasuk Amirudin, serta sekurang-kurangnya dua orang wartawan.

Individu itu mendakwa seorang pembantu menteri besar “menjadi jutawan” sejak Amirudin memegang jawatan, memiliki banglo bernilai RM3 juta dan kerap membawa keluarga bercuti ke luar negara.

Jay Jay berkata pembantu berkenaan telah pun melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.

Hari ini, satu lagi kumpulan WhatsApp diwujudkan dan sebuah dokumen dikongsi, mendakwa Amirudin mempunyai kaitan dengan kekayaan yang dikumpul oleh pembantunya.

Pengguna WhatsApp itu mendakwa Amirudin juga mengumpul jutaan ringgit kerana beliau mampu memiliki dua buah kereta mewah selepas menjadi menteri besar.

Pengguna itu berkata akan ada lagi dakwaan mengenai Amirudin dan keluarganya dalam masa terdekat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.