
Dalam kenyataan ringkas, Ahli Parlimen Bera berkata beliau hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberikan keterangan.
“Saya akan terus memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa sehingga siasatan selesai,” kata bekas naib presiden Umno itu.
Beliau bagaimanapun tidak memberitahu siasatan kes membabitkannya.
Terdahulu, media melaporkan Ismail hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira 9.45 pagi untuk proses rakam keterangan.
Beliau sepatutnya memberikan kenyataan pada 5 Mac, tetapi ditangguhkan selepas mengemukakan sijil sakit.
Ismail meninggalkan premis itu pada 3.15 petang dan dijangka kembali esok untuk melalui proses sama.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan keterangan Ismail diambil bagi siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram dikaitkan dengannya.
Sebelum ini empat pegawai kanan Ismail turut ditahan bagi diambil keterangannya.
SPRM turut mendedahkan kira-kira RM170 juta wang tunai dan 16kg jongkong emas bernilai jutaan ringgit dirampas dalam serbuan di kediaman empat pegawai berkenaan serta tiga premis lain dipercayai sebagai ‘safe house’.