Peranan baharu Tengku Zafrul potensi batu loncatan PRU

Peranan baharu Tengku Zafrul potensi batu loncatan PRU

Penganalisis kata PKR perlu beri peranan yang bina kredibiliti akar umbi untuk Tengku Zafrul Aziz, atau kerusi selamat.

TENGKU ZAFRUL AZIZ
Penganalisis lihat Tengku Zafrul Aziz sebagai teknokrat yang menyeberang ke dunia politik tanpa akar umbi yang kukuh.
PETALING JAYA:
‘Peranan baharu’ yang diberi kepada Tengku Zafrul Aziz selepas tamat tempoh senator berpotensi menjadi batu loncatan untuk beliau pada PRU akan datang, menurut penganalisis.

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting percaya PKR mempunyai perancangan untuk Tengku Zafrul, yang menyertai parti itu pada Julai, memandangkan beliau bakal diberi peranan dalam kerajaan selepas tempoh dua penggalnya tamat pada 2 Dis.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh jurucakap kerajaan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, kelmarin, tanpa butiran lanjut tentang peranan baharu tersebut.

Telahan penganalisis ini berlatarkan dakwaan bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, semalam, bahawa terdapat rancangan untuk mengosongkan satu kerusi Parlimen bagi Tengku Zafrul.

“Walaupun beliau pernah tewas di Kuala Selangor, jangan lupa bahawa rekod pelaburan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri bawah beliau mencecah lebih RM200 bilion setahun sejak 2023, angka yang cukup gah dan boleh dijadikan modal politik,” kata Ahmad.

Pada PRU15, Tengku Zafrul yang bertanding atas tiket Barisan Nasional tewas dengan perbezaan tipis 1,002 undi, di tangan calon Pakatan Harapan, Dzulkefly Ahmad, dalam pertandingan empat penjuru yang sengit.

Ahmad melihat Tengku Zafrul sebagai teknokrat yang menyeberang ke dunia politik tanpa akar umbi yang kukuh.

“Jika Anwar benar‑benar mahu menjadikan Tengku Zafrul aset politik, beliau perlu diberi kerusi selamat atau peranan yang membina kredibiliti akar umbi. Tanpa itu, beliau kekal sebagai ‘poster boy’ pelaburan tetapi bukan pemain politik sebenar,” katanya.

Tengku Zafrul, 52, bersama Umno sejak 1997 dan pernah berkhidmat sebagai bendahari Barisan Nasional (BN) Selangor. Sebelum keahlian dalam Umno diketahui menjelang PRU15, beliau dikenali sebagai bekas ketua pegawai eksekutif Kumpulan CIMB .

Dalam kerajaan, beliau pernah memegang portfolio kewangan dalam pentadbiran Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, masing-masing daripada Perikatan Nasional dan BN.

Ahli Majlis Professor Negara Azmi Hassan berkata khidmat Tengku Zafrul bawah tiga perdana menteri menunjukkan beliau memiliki kepakaran.

Beliau percaya peranan terbaik bagi Tengku Zafrul adalah sebagai penasihat atau wakil khas perdana menteri bertaraf menteri dalam hal ekonomi.

“Tengku Zafrul mesti ada peranannya berkaitan dengan ekonomi terutama sekali dengan perjanjian perdagangan bebas. Bukan sahaja dengan Amerika Syarikat tetapi Malaysia akan meterai dengan banyak negara lain lagi,” katanya.

Tengku Zafrul mengetuai delegasi peringkat tinggi ke Washington untuk membincangkan isu tarif yang dikenakan AS.

Menyusuli rundingan intensif, Malaysia berjaya mendapatkan pengecualian tarif daripada AS bagi eksport-eksport utama, 0% tarif bagi produk tertentu, dan kadar tarif lebih rendah daripada 19% bagi sejumlah 1,711 produk yang dieksport ke AS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.