Malaysia lakar kemajuan penting kepengerusian Asean 2025

Malaysia lakar kemajuan penting kepengerusian Asean 2025

Berpandukan semangat Madani keseimbangan, empati dan keadilan, Malaysia akan terus menjadi tunjang kepada Asean yang stabil, padu dan makmur.

Tengku Zafrul Abdul Aziz, Wang Wentao, anwar ibrahim n Li Qiang
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata Asean terus memperdalam hubungan ekonomi, memperluas perdagangan dan meningkatkan daya saing. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Sebagai pengerusi Asean 2025 Malaysia terus mencatat kemajuan penting bawah tonggak ekonomi dengan pencapaian yang mengukuhkan kedudukan rantau ini sebagai hab ekonomi dinamik menjelang 2030.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz, berkata daripada 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang digariskan, sebanyak 12 berjaya disempurnakan.

Katanya, enam lagi PED berada pada landasan tepat untuk diselesaikan menjelang akhir 2025.

Menurutnya, pencapaian itu menunjukkan komitmen Malaysia terhadap usaha memperkukuh integrasi ekonomi serantau serta mempercepatkan transformasi digital Asean.

“Kemajuan ini membuktikan Asean berada pada landasan kukuh untuk menjadi ekonomi digital bernilai USD2 trilion menjelang 2030.

“Ia hasil kemajuan dalam Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital Asean (Defa) yang sedang dibangunkan,” katanya ketika pembentangan Kad Laporan Prestasi Suku Ketiga 2025 Miti, baru-baru ini.

Beliau berkata, Asean MSME Green Transition Centre dan Inclusive Business Forum dilancarkan dengan sasaran 10,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di rantau ini menggunakan amalan mampan.

Katanya, dalam aspek tenaga, Asean turut menetapkan sasaran kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 45% menjelang 2030, yang menghasilkan pengurangan keamatan tenaga sebanyak 40% berbanding tahap pada 2005.

Menurutnya, Malaysia juga memainkan peranan penting dalam memperkukuh rantaian bekalan dan memudahkan perdagangan melalui Perjanjian Perdagangan Barangan Asean (Atiga) dan Kawasan Perdagangan Bebas Asean-China 3.0 (ACFTA).

Potensi Asean

Tengku Zafrul berkata, peningkatan perjanjian itu bukan sahaja memperkukuh integrasi serantau, tetapi membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan untuk memanfaatkan potensi pasaran Asean.

“Dua perjanjian penting turut dimeterai tahun ini iaitu Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Korea (MKFTA) dan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang dijangka memperluas akses pasaran dan mempelbagaikan hubungan perdagangan antarabangsa.

“Pada masa sama, Timor Leste diterima sebagai anggota ke-11 Asean, menandakan satu langkah besar ke arah pengukuhan perpaduan dan keterangkuman serantau,” katanya.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, berdasarkan AEC Blueprint 2025, kadar pelaksanaan keseluruhan kini mencapai 76.5% dengan 2,960 daripada 3,867 aktiviti disempurnakan.

Beliau berkata, Asean turut meluluskan Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) 2026-2030 merangkumi 756 aktiviti dan 94 penunjuk hasil utama sebagai pelan kesinambungan selepas 2025.

Hasil utama

Katanya, selain itu 21 hasil utama dan dokumen hasil disampaikan ketika Sidang Kemuncak Asean Ke-47 dan sidang berkaitan merangkumi 16 hasil Asean dan lima hasil Asean-DP Summit.

Antara dokumen penting dimuktamadkan ialah 2nd Protocol to Amend Atiga, ACFTA 3.0 Upgrade Protocol, Substantial Conclusion of Defa’ serta Joint Declaration on Economic Cooperation between Asean and GCC.

“Asean turut mengadakan Sidang Kemuncak Kelima Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Perdagangan Barangan Asean (Asean TID) menegaskan komitmen berterusan rantau terhadap keterbukaan ekonomi dan kerjasama pelbagai hala.

“Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam memastikan tonggak ekonomi Asean kekal mampan, inklusif dan berdaya tahan demi manfaat seluruh rantau,” katanya.

Pimpin Asean

Sebelum ini, Tengku Zafrul juga pernah menyatakan, kepengerusian Malaysia mengemudi Asean ke arah masa depan inklusif, mampan dan berdaya saing, namun kepimpinan bukanlah soal dominasi, tetapi soal haluan.

Katanya, seperti dinyatakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini, keamanan dan kemakmuran relatif yang dinikmati Asean hampir enam dekad bukan sesuatu yang berlaku dengan sendiri.

Katanya, ia perlu diperbaharui melalui kerjasama dan diperkukuh dengan matlamat bersama.

Justeru, Asean terus memperdalam hubungan ekonomi, memperluas perdagangan dan meningkatkan daya saing.

“Berpandukan semangat Madani keseimbangan, empati dan keadilan, Malaysia akan terus menjadi tunjang kepada Asean yang stabil, padu dan makmur.

“Dan tanpa keraguan, kita kekal sebagai antara landasan paling menarik ke arah masa depan cerah rantau ini. Rantau ini kini menjadi tempat sandaran harapan global dan aspirasi rakyat. Bersama-sama, mari kita jadikan cita-cita satu tindakan dan aspirasi satu pencapaian.

“Kerana, seperti yang dipersetujui ramai, apabila Asean makmur, dunia turut makmur.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.