Intel umum pelaburan tambahan RM860 juta kembang operasi di Malaysia

Intel umum pelaburan tambahan RM860 juta kembang operasi di Malaysia

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pelaburan itu cerminkan keyakinan terhadap perancangan jangka panjang negara.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Intel Tan Lip-Bu hari ini. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Intel Corporation mengumumkan pelaburan tambahan berjumlah RM860 juta untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi pemasangan dan ujian syarikat itu, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Dalam satu hantaran di media sosial selepas menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Intel Tan Lip-Bu hari ini, Anwar berkata langkah itu mencerminkan keyakinan terhadap perancangan jangka panjang negara, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.

“Intel turut merakamkan penghargaan atas sokongan berterusan kerajaan, khususnya terhadap pembangunan Kilang Pembungkusan Termaju di Pulau Pinang yang melibatkan perbelanjaan modal RM12 bilion dan kini 99% siap,” katanya.

Anwar berkata beliau turut menyambut baik kerjasama Intel dengan institusi pendidikan dan latihan melalui mata pelajaran elektif serta projek penyelidikan dan pembangunan, yang menerima komitmen pembiayaan RM2.8 juta dalam tempoh dua tahun.

“Segala pelaburan ini mencerminkan keyakinan sebuah syarikat global terhadap Malaysia sebagai rakan kongsi utama dalam memacu inovasi, mengukuhkan ekosistem bakat tempatan dan mengekalkan daya saing negara di pentas dunia,” katanya.

Intel, pengeluar semikonduktor terbesar dunia, merupakan antara pelopor industri elektrik dan elektronik Malaysia, memulakan operasi di Pulau Pinang pada 1972.

Pada 2023, syarikat itu memberi komitmen untuk melabur RM30 bilion dalam tempoh 10 tahun bagi mengembangkan operasinya di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.

Intel juga mengumumkan pada 2021 bahawa ia akan melabur dalam pembinaan kilang pembungkusan dan pengujian cip baharu di Malaysia, yang dijangka memulakan pengeluaran pada 2024.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.