
“Bersandarkan komitmen dan pengalaman lebih 20 tahun memberdayakan wanita, saya optimis bersama dukungan baharu yang dibentuk mampu membangkitkan daya perjuangan dan persaingan wanita Keadilan demi memperkukuh agenda perubahan di peringkat nasional,” katanya ketika berucap dalam program berbuka puasa dan Hari Wanita di Parlimen Ampang.
Ahli Parlimen Ampang itu turut meluahkan keyakinan tidak timbul soal isu pepecahan dalam pertandingan ‘adik-beradik’.
“Tak timbul masalah pecah atau tidak sebab kita masih dalam parti yang sama. Biasalah bila bersaing semasa pemilihan orang akan nampak seolah-olah kita berpecah, tapi sebenarnya kita ada visi dan misi yang berlainan,” katanya.
Sebaliknya Rodziah berkata pengurusan sayap itu perlu diperkemas sebaik mungkin sebelum berdepan pilihan raya terutamanya PRN Sabah dan PRU16 yang akan datang.
“Kepimpinan wanita Keadian bukan semata-mata buat program atau benda biasa-biasa, tetapi kena komited melahirkan lebih ramai wanita yang celik politik dan mampu mendepani isu-isu semasa.”
Minggu lalu, Rodziah menggambarkan Wanita PKR “sedikit lesu” dan pimpinan sayap itu memerlukan “nafas baharu”.
Ketika ini, jawatan ketua Wanita PKR disandang Fadhlina Sidek, yang juga menteri pendidikan.
Pada pemilihan parti 2022, Rodziah tumpas kepada Fadhlina dengan 32 undi. Fadhlina meraih 18,923 undi, manakala Rodziah mendapat 18,891 undi.
Rodziah juga turut berkata akan mempertahankan jawatan sebagai ketua PKR Shah Alam.
PKR dijadual mengadakan pemilihan bahagian bermula 11-20 April, manakala pemilihan pimpinan pusat berlangsung pada 24 Mei.