
Ketua Pemuda GRS Jonnybone Kurum mengakui bukan mudah untuk menjelaskan kepada penyokong mereka memandangkan perseteruan sengit dan serangan satu sama lain pada PRN Sabah, November tahun lalu.
Menurutnya, ada segelintir penyokong kuat dari Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) masih bertanya mengapa BN diterima menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri, yang ada kalanya sukar untuk dijelaskan.
“Kami beritahu gabungan itu perlu dibentuk untuk membentuk kerajaan dan memastikan kestabilan walaupun apa yang berlaku pada pilihan raya sebelum itu.
“Jadi kalau mahu melanjutkan kerjasama politik ini pada PRU16, inilah cabarannya (beri kefahaman dan penjelasan kepada penyokong GRS),” katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, Jonnybone yang juga Adun Telupid menekankan dalam apa jua keadaan, kepentingan rakyat Sabah perlu diutamakan berbanding sentimen segelintir pihak.
“Kita kena bergerak dan politik ini tentang masa depan, bukan dendam lama,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Bendahari Pemuda Umno Mohd Kurniawan Naim Moktar yang kemenangannya pada PRK Kinabatangan dan kejayaan BN mempertahankan Lamag, bulan lalu memberi isyarat kerjasama dengan GRS perlu diperluas kepada politik bukan hanya pentadbiran.
Naim mengakui kemenangannya ke atas Warisan dengan majoriti 14,214 undi turut disumbangkan rakan dalam kerajaan seperti GRS dan Pakatan Harapan (PH) yang turun membantu kempen.
Pada PRN Sabah tahun lalu, BN berseteru dengan GRS yang bagaimanapun bekerjasama membentuk kerajaan perpaduan selepas pilihan raya yang dikepalai Ketua Menteri Hajiji Noor.
BN mencatat antara prestasi terburuk di Sabah apabila hanya menang enam DUN pada PRN itu.
Pemerhati politik meramalkan tujuh kerusi Parlimen disandangnya kini berisiko hilang pada PRU16 jika ia tidak menjalinkan kerjasama.