
Ketua pembangkang itu dipanggil untuk memberi keterangan pada 12 tengah hari, Khamis depan di Ibu Pejabat Bersatu.
Menerusi surat pemberitahuan ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin Radzi Manan yang dilihat FMT, ada empat aduan disiplin terhadap Ahli Parlimen Larut itu yang bertarikh 30 Sept 2025 serta 5 Feb lalu.
Ini kali kedua beliau dipanggil, sebelum ini pada 5 Okt 2025. Namun difahamkan beliau tidak menghadiri sesi Lembaga Disiplin itu.
Dalam surat itu, Lembaga Disiplin memaklumkan ia memandang serius aduan diterima termasuk dakwaan penglibatan Hamzah dalam perancangan untuk mengganggu dan mensabotaj perjalanan PAT, September lalu.
Hamzah juga didakwa gagal menghalang beberapa pemimpin dan ahli parti daripada mengeluarkan kenyataan menyerang Muhyiddin serta mencemarkan imej Bersatu.
Aduan lain termasuk gagal menghalang rundingan dengan presiden parti komponen Perikatan Nasional (PN) tanpa mandat parti, termasuk perbincangan berkaitan Majlis Eksekutif PN yang telah ditolak oleh Biro Politik dan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Hamzah juga didakwa mencemarkan imej Muhyiddin kerana membuat kenyataan tidak dijemput ke pertemuan membabitkan presiden parti komponen PN pada 28 Jan lalu.
Sebelum ini, dua pemimpin Bersatu Selangor Rafiq Abdullah dan Harisson Hassan menggesa Lembaga Disiplin menyiasat Hamzah dan mengambil tindakan ke atasnya termasuk dipecat jika terbukti bersalah menjadi punca krisis dalaman parti.
Rafiq turut mendesak Hamzah berundur namun penganalisis politik berpandangan timbalan pengerusi PN itu tidak akan melayan tuntutan sedemikian sebaliknya menunggu tindakan Bersatu.
Hamzah sebelum ini menafikan hubunganya dengan Muhyiddin tegang termasuk menolak dakwaan wujud dua kem dalam parti itu selain mendakwa cerita itu sengaja diadakan bagi mewujudkan perpecahan dalam Bersatu dan PN.
Namun, beliau terus dikaitkan dengan dakwaan wujud usaha menyokong perpecahan dalaman parti, yang dipercayai membawa kepada beberapa tindakan disiplin.
Ia termasuk pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah serta penggantungan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.