
“Saravanan yang membuka gelanggang debat ini,” katanya menurut kenyataan.
Zamri menjelaskan debat itu menyentuh persoalan mengenai kenyataan Saravanan berhubung penulisannya berkaitan upacara kavadi. Penulisannya itu dipertahankan Zamri.
“Dialog akan berkisar di antara dua sudut ini sahaja,” katanya.
Zamri turut mempertahankan kewajaran pertemuan itu, mengatakan sesuatu masalah perlu dibincangkan bagi mencari penyelesaian.
“Apa kata kementerian sahaja menganjurkan dialog ini secara harmoni di bawah Jawatankuasa Harmoni yang ditubuhkan baru-baru ini sekurang-kurangnya ada juga fungsi mereka?”
Bagaimanapun, Zamri kata beliau akan menyambut baik keputusan Saravanan jika pemimpin MIC itu mengaku terkhilaf berhubung penulisannya dan mengumumkan tarik diri daripada debat atau dialog tersebut.
Terdahulu, Menteri Aaron Ago Dagang dalam kenyataan berharap perdebatan mengenai agama Hindu antara Saravanan dan Zamri tidak diteruskan.
Katanya, perdebatan yang terlalu fokus kepada perbezaan agama berpotensi untuk mencetuskan ketegangan dan mengeruhkan hubungan antara masyarakat yang berbilang agama.
Aaron menjelaskan perbincangan mengenai agama seharusnya dilakukan dengan penuh rasa hormat dan kesedaran terhadap kepelbagaian dalam masyarakat.
Zamri pada Jumaat menerima cabaran Saravanan untuk berdebat mengenai agama Hindu, berikutan kemarahan orang ramai terhadap kenyataannya berkaitan upacara kavadi.
Saravanan berkata, perdebatan akan tertumpu kepada dakwaan Zamri bahawa ramai penganut Hindu yang melakukan upacara kavadi kelihatan seperti ‘kena rasuk sambil mabuk todi’.
Pemimpin MIC itu mencadangkan debat diadakan pada 23 Mac dengan Dewan Bahasa Tamil Malaysia sebagai penganjur.
Cabaran untuk berdebat timbul selepas kritikan tercetus terhadap kenyataan Zamri mengenai upacara kavadi, dengan Saravanan menggesa penahanannya bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas).
Kenyataan itu dibuat di tengah-tengah kemarahan orang ramai terhadap tiga penyampai radio Era FM yang dikecam secara meluas kerana dikatakan mempersenda amalan Hindu yang sama.