Kementerian Perpaduan sedia 1 juta buku digital percuma

Kementerian Perpaduan sedia 1 juta buku digital percuma

Platform u-Pustaka disediakan oleh Perpustakaan Negara Malaysia untuk tingkat amalan membaca di kalangan rakyat Malaysia.

reading
Kementerian Perpaduan Negara kongsi budaya membaca rakyat Malaysia menunjukkan peningkatan memberangsangkan sejak dua dekad lalu. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) memperkenalkan u-Pustaka, sebuah platform digital sehenti yang menawarkan lebih sejuta bahan bacaan dalam talian secara percuma.
Aaron Ago Dagang
Aaron Ago Dagang.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata inisiatif itu selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh budaya membaca dan memperluas akses ilmu kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

Menurutnya, platform itu menyediakan pelbagai bahan digital termasuk e-buku, e-majalah, e-surat khabar, buku audio, e-pembelajaran dan e-jurnal yang boleh diakses secara percuma pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

“Setakat ini, u-Pustaka telah merekodkan lebih 2.9 juta rekod bibliografi dengan 1,014,356 judul koleksi digital.

“Ia turut menawarkan 22 pangkalan data digital seperti Overdrive, Alkem Digital Library, Mason Crest, Emerald eBook, JGate, Lawnet, Odilo dan MyGuru,” katanya dalam kenyataan.

Aaron berkata, u-Pustaka berperanan sebagai gedung ilmu maya yang komprehensif, inklusif dan mudah diakses oleh semua rakyat, sejajar dengan matlamat kerajaan memperkasa ekosistem ilmu di negara ini.

Beliau turut berkongsi budaya membaca rakyat Malaysia menunjukkan peningkatan memberangsangkan sejak dua dekad lalu berdasarkan dapatan kajian profil membaca dijalankan PNM.

“Pada 2005, purata rakyat hanya membaca dua buku setahun. Sepuluh tahun kemudian, jumlah itu melonjak kepada 15 buah buku dan pada 2023 meningkat lagi kepada 24 buah buku setahun,” katanya.

Daripada jumlah itu, purata 16 buku dibaca dalam bentuk fizikal manakala lapan lagi dibaca secara dalam talian.

Kajian sama turut mendapati 88.6% rakyat Malaysia kini menjadi pembaca aktif — satu pencapaian membuktikan keberkesanan dasar dan inisiatif kerajaan dalam memupuk budaya ilmu.

Aaron berkata peningkatan kadar bacaan dan kemudahan akses digital seperti u-Pustaka bukan sahaja memperluas capaian kepada ilmu pengetahuan, tetapi juga berperanan memperkukuh perpaduan nasional melalui perkongsian ilmu, nilai dan kefahaman antara masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya.

“Kementerian Perpaduan Negara percaya bahawa apabila rakyat celik ilmu dan berfikiran terbuka, perpaduan nasional akan menjadi lebih utuh. Inilah semangat sebenar Malaysia Madani yang kita usahakan bersama,” katanya.

Orang ramai boleh mendaftar akaun secara percuma melalui laman web rasmi www.u-pustaka.gov.my atau memuat turun aplikasi u-Pustaka di peranti mudah alih bagi menikmati akses segera kepada pelbagai bahan bacaan digital yang disediakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.