IMK pacu strategi Malaysia jadi Negara Membaca 2030

IMK pacu strategi Malaysia jadi Negara Membaca 2030

Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) akan menyediakan ukuran saintifik dan menyeluruh mengenai budaya membaca rakyat.

Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia sedang membangunkan Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) bagi mengukur dan memantau tahap membaca rakyat Malaysia. (Gambar Perpustakaan Negara Malaysia)
PETALING JAYA:
Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) dijangka menjadi pemacu utama strategi Malaysia untuk mencapai aspirasi Negara Membaca 2030, dengan menyediakan ukuran saintifik dan menyeluruh mengenai budaya membaca rakyat.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata walaupun kajian profil membaca dijalankan sejak 2005 menunjukkan perkembangan positif, ia belum cukup menjadi gambaran sebenar tabiat membaca rakyat.

Katanya, purata bacaan rakyat meningkat daripada hanya dua buku setahun pada 2005 kepada 24 buku pada 2023, dengan 16 buku bercetak dan lapan buku digital manakala kajian terkini turut menunjukkan 88.6% rakyat Malaysia membaca.

Namun menurut Aaron, angka itu masih tidak memberi maklumat terperinci mengenai siapa, jenis bacaan dan bagaimana tabiat membaca berbeza mengikut kelompok masyarakat.

“Tanpa indeks komprehensif, kita hanya nampak trend di permukaan.

“IMK akan memberikan indikator jelas dan metodologi saintifik bagi menilai tabiat membaca secara lebih mendalam,” katanya kepada FMT.

Aaron Ago Dagang berkata IMK membolehkan kerajaan menilai keberkesanan dasar literasi sedia ada, di samping merangka polisi lebih tepat berasaskan bukti.

Beliau turut menekankan IMK yang bakal diperkenalkan tahun depan akan membolehkan kerajaan menilai keberkesanan dasar literasi sedia ada, di samping merangka polisi lebih tepat berasaskan bukti.

“Indeks ini akan dijalankan secara berkala supaya kekal relevan dengan perubahan zaman dan corak pembacaan rakyat,” katanya menjelaskan Perpustakaan Negara Malaysia kini dalam fasa akhir memuktamadkan pembangunan IMK dan diperkenal tahun depan.

Sebaris negara lain

Langkah memperkenalkan IMK turut meletakkan Malaysia sebaris dengan negara lain yang sudah mempunyai ukuran khusus untuk menilai literasi kebangsaan.

Sebagai contoh, Emiriah Arab Bersatu (UAE) memperkenalkan Indeks Membaca Kebangsaan UAE yang menilai bacaan digital dan bercetak manakala Indonesia membangunkan Indeks Pembangunan Literasi Masyarakat yang menilai minat membaca, akses serta infrastruktur literasi.

Di Amerika Syarikat pula, laporan tahunan Penilaian Nasional Kemajuan Pendidikan menjadi kayu ukur literasi kebangsaan yang digunakan dalam penggubalan dasar pendidikan negara itu.

Kementerian Perpaduan Negara menerusi Kempen Malaysia Membaca giat mempromosikan amalan baik itu di kalangan kanak-kanak di Taska dan Tabika Perpaduan.

“Dengan adanya IMK, Malaysia bukan sekadar menambah baik kajian sedia ada, tetapi bergerak ke hadapan dengan ukuran rasmi bertaraf antarabangsa untuk membina budaya membaca kukuh,” kata Aaron.

Selain IMK, Kementerian Perpaduan Negara turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memuktamadkan Dasar Buku Negara yang baharu.

Dasar itu yang sedang dirangka semula selepas hampir empat dekad, akan mengambil kira era digital, corak bacaan generasi muda, keperluan industri penerbitan dan aspirasi negara membina masyarakat berpengetahuan.

Sepanjang Oktober ini, Kementerian Perpaduan Negara turut menganjurkan Kempen Malaysia Membaca di perpustakaan seluruh negara bagi menyemarakkan budaya ilmu sebahagian daripada gaya hidup.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.