
Menteri Aaron Ago Dagang berkata belanjawan ini selari ketetapan hala tuju baharu kementerian bagi 2026, iaitu pembinaan negara bangsa sebagai teras utama dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian.
“Melalui Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13), kementerian turut merangka 21 cadangan inisiatif pembinaan negara bangsa yang sangat penting bagi Malaysia sebagai sebuah negara berbilang agama, bangsa dan budaya,” menurut kenyataan.
Beberapa inisiatif khas diumumkan antaranya pelaksanaan program perpaduan, integrasi nasional dan keharmonian, Memperkasa peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai penghubung jalin dalam komuniti, dan pembinaan pusat aktiviti perpaduan di Kuala Terengganu, Perak dan Sarawak.
Selain itu, penyediaan dana awal secara geran padanan bagi menggalakkan sektor korporat, dermawan dan pakar warisan untuk meremajakan Muzium Negara, penambahbaikan kemudahan pendidikan awal kanak-kanak perpaduan di seluruh negara, dan pembukaan Muzium Tekstil di Menara Merdeka 188 sebagai usaha mengetengahkan tekstil dunia Melayu.
Aaron berkata kementerian akan terus memperkukuh perpaduan rakyat sebagai asas utama kepada pembangunan negara selaras aspirasi kerajaan madani.
“Dengan hala tuju yang jelas ini, KPN akan terus menjadi peneraju dalam membina masyarakat Malaysia yang harmoni, inklusif, dan berpaksikan nilai sejagat yang mendukung semangat Malaysia Madani,” katanya.