
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata melalui PNM, kementerian telah melaksanakan 56,473 program galakan membaca sepanjang 2024, sebagai langkah strategik ke arah menjayakan misi Negara Membaca 2030.

“Walaupun ada beranggapan perpustakaan semakin sepi kerana kemajuan teknologi, fakta menunjukkan sebaliknya.
“Pada 2024, seramai 8.28 juta pengguna menggunakan perkhidmatan PNM,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, angka itu membuktikan perpustakaan kekal menjadi pusat ilmu, pembelajaran dan interaksi sosial yang penting dalam membina masyarakat berpengetahuan.
Aaron berkata Kementerian Perpaduan Negara juga giat menarik minat generasi muda yang menganggap perpustakaan membosankan dengan memperkenalkan aktiviti interaktif, teknologi digital dan pengalaman pembelajaran menyeronokkan.
“Pendekatan ini memastikan perpustakaan kekal relevan dan seiring dengan gaya hidup generasi baharu,” katanya sambil menjelaskan PNM kini memperkukuh agenda pendigitalan termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan realiti maya.
“Namun perpustakaan fizikal tetap penting sebagai pelengkap kepada akses maklumat yang lebih luas dan fleksibel.
“Sejarah membuktikan perpustakaan mampu bertahan merentasi zaman, menjadi simbol tamadun dan kemajuan manusia. Begitu juga perpustakaan di Malaysia,” kata Aaron.
Beliau turut menekankan kelangsungan perpustakaan bergantung kepada sokongan kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dan komuniti supaya terus menjadi ruang pembelajaran sepanjang hayat.
Sebagai kesinambungan usaha itu, Kementerian Perpaduan Negara turut melancarkan Kempen Malaysia Membaca sepanjang bulan ini dengan pelbagai program di perpustakaan seluruh negara.
“Kempen ini bukan hanya memupuk minat membaca, tetapi menghidupkan perpustakaan sebagai pusat ilmu dan simbol perpaduan rakyat,” katanya.