
Ketua Polis Arau Ahmad Mohsin Md Rodi, berkata pakar patologi berpendapat punca kematian lelaki berusia 23 tahun itu adalah disebabkan ketumbuhan pecah tersebut, sekali gus mengakibatkan pendarahan.
“Pakar patologi juga berpendapat ketumbuhan yang pecah itu juga tidak mustahil disebabkan lelaki ini jatuh, manakala corak kecederaan terdapat pada tubuhnya tidak kelihatan seperti satu tindakan penderaan.
“Namun, pemeriksaan lanjut diperlukan bagi mengenal pasti jenis ketumbuhan yang pecah tersebut. Sampel ketumbuhan dan DNA lelaki ini telah dihantar ke Jabatan Kimia Pulau Pinang bagi mendapatkan laporan toksikologi,” katanya menurut Bernama.
Semalam, dilaporkan lelaki daripada Ulu Melaka, Langkawi, itu ditahan di pusat koreksional tersebut sejak 17 Dis lalu atas kesalahan salah guna dadah.
Penghuni itu meninggal dunia semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, selepas dipercayai terjatuh di bilik air pada 6 Mac.