Reda andai diterima sekadar ahli baharu, kata bekas Adun PAS Perlis

Reda andai diterima sekadar ahli baharu, kata bekas Adun PAS Perlis

Bekas Adun Bintong Fakhrul Anwar Ismail akan akur sebarang keputusan PAS selepas dihentikan keahlian susulan kontroversi libat menteri besar Perlis.

Fakhrul Anwar Ismail
Kerusi Bintong yang sebelum ini disandang Fakhrul Anwar Ismail akan kekal kosong walaupun keahlian diluluskan PAS kerana terkait perlembagaan parti serta Akta Lompat Parti.
PETALING JAYA:
Bekas Adun Bintong Fakhrul Anwar Ismail yang digugurkan keahlian PAS berkata beliau akur dengan apa sahaja keputusan bakal dibuat pimpinan pusat berhubung status keahliannya.

Katanya, beliau juga sedia patuh sekiranya PAS memutuskan untuk menerima rayuan mereka berstatus sebagai ahli baharu.

“Berkaitan keahlian PAS, saya akan akur dan reda dengan sebarang kemungkinan PAS pusat (termasuk sebagai Ahli baharu),” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Majlis Syura Ulama PAS dilaporkan menerima permohonan bekas tiga Adun Perlis untuk menyertai parti itu semula, yang akan diserahkan kepada setiausaha agung untuk pertimbangan PAS pusat.

Susulan itu, Pesuruhjaya PAS Perlis Ahmad Ali, berkata tiga kerusi PAS di Perlis kekal kosong walaupun permohonan keahlian mereka diluluskan nanti oleh pucuk pimpinan parti kerana terkait dengan perlembagaan parti serta Akta Lompat Parti.

Selain Fakhrul, PAS menghentikan serta-merta keahlian Adun Chuping Saad Seman dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim pada 24 Dis lalu kerana didakwa bersama lima Adun Bersatu menandatangani akuan berkanun (SD) menarik sokongan kepada menteri besar ketika itu, Shukri Ramli.

Susulan itu, Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan dilaporkan berkata, walaupun tiada PRK, tiga kerusi itu kekal kosong sehingga PRU16 selepas mengambil kira perkembangan mutakhir, termasuk pendirian PAS yang memberi jaminan akan terus komited mengekalkan kelangsungan dan kestabilan kerajaan negeri.

Mengulas berhubung kedudukannya sebagai Adun, Fakhrul berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada proses mahkamah untuk menentukannya.

“Tentang status sebagai Adun PAS, tunggu keputusan mahkamah nanti. Saya reda dengan ketentuan Allah, baik memihak atau tidak memihak, pasti ada hikmah dan kebaikan, tenang-tenang sahaja dalam hidup ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.