
Sinar Harian melaporkan Abd Rahman Harun, 43, yang mempunyai rekod sakit mental hanya mengangguk selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Nur Syifa Mohd Hamzah.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Lelaki itu didakwa membunuh Isah Salleh, 70, di rumah mereka di Kampung Bok-Bok, Derga, antara 7 hingga 8 pagi 2 Mac lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun, serta sekurang-kurangnya 12 sebatan, jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Huda Diyanah Amir Hamzah memohon tertuduh menjalani penilaian psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah kerana memegang kad orang kurang upaya kategori ketidakupayaan mental.
Tiada jaminan dibenarkan bagi kesalahan itu dan 10 April ini ditetapkan untuk keputusan laporan penilaian psikiatri.
Media sebelum ini melaporkan seorang warga emas ditemui maut dengan kesan terbakar di sebuah rumah di Jalan Tok Keling pada 2 Mac lalu.
Mangsa berusia 68 tahun itu dipercayai dibunuh anak kandungnya dan Ketua Polis Kota Setar, Siti Nor Salawati Saad dilaporkan berkata panggilan kecemasan MERS999 diterima pada 7.48 pagi memaklumkan seorang lelaki mengamuk di rumah berkenaan.