Polis rampas e-waste RM33.18 juta di kilang barang lusuh

Polis rampas e-waste RM33.18 juta di kilang barang lusuh

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Rusley Chi Ari berkata seorang pekerja lelaki ditahan dan polis sedang mengesan pemilik premis yang juga warga tempatan.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Rusley Chi Ari menunjukkan gambar barangan rampasan pada sidang media di Markas PPM Wilayah 1 di Pulau Indah hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan dan 1.23 juta kilogram sisa e-waste bernilai lebih RM33 juta dirampas di sebuah premis di kawasan Taman Perindustrian Meru, Pelabuhan Klang, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 1, Rusley Chi Ari, berkata pasukannya membongkarkan kegiatan memproses sisa e-waste haram di sebuah kilang barang lusuh dalam Op Bersepadu bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor kira-kira 11 pagi Khamis.

Menurutnya, kilang itu memiliki lesen, tetapi bukannya untuk memproses sisa e-waste.

“Polis menahan seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun yang juga pekerja di kilang itu. Kita masih menjalankan siasatan dan mengesan pemilik premis yang juga warga tempatan,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media di Markas PPM Wilayah 1 di Pulau Indah.

Beliau berkata 16,100kg tembaga, aluminium sudah diproses (207,900kg), aluminium belum diproses (112,000kg), aluminium dicampur (7,000kg), campuran e-waste belum diproses (23,100kg), sisa e-waste campuran (787,500kg) dan aluminium dimampat (81,000kg) dirampas. Semuanya dianggarkan berjumlah RM33.18 juta.

“Semua rampasan diserahkan kepada JAS Selangor atas kesalahan bawah Seksyen 18(1), 19 dan 34a (6) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk tindakan lanjut,” katanya sambil menambah semua e-waste yang diproses dipercayai diperoleh dari luar negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.