
Ketua Bahagian Biosekuriti AKPS Bukit Kayu Hitam, Rohaimishah Che Me, berkata rampasan pada 8.30 malam itu dilakukan selepas mendapati isu ketidakpadanan dokumen halal semasa pemeriksaan dijalankan.
“Rampasan itu dibuat hasil pemeriksaan sebuah kontena yang diisytiharkan membawa ayam sejuk beku melalui pintu masuk Bukit Kayu Hitam.
“Pemeriksaan fizikal mendapati nombor rujukan pada sijil halal tidak sepadan dengan maklumat pada pembungkusan dan kotak barangan,” katanya dalam kenyataan.
Berdasarkan dapatan awal, penyampaian maklumat konsainan berkenaan dipercayai tidak tepat atau mengelirukan.
Beliau berkata, keseluruhan konsainan disita untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
AKPS memberikan komitmen berterusan dalam memastikan keselamatan makanan, pematuhan undang-undang serta kepentingan pengguna sentiasa terpelihara, khususnya di pintu masuk sempadan negara.
“Orang awam mahupun pihak industri diingatkan supaya memastikan semua dokumentasi import, terutama berkaitan pensijilan halal dan keselamatan makanan lengkap, sah dan selaras dengan peraturan semasa,” katanya.