
Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan membuat keputusan itu selepas 1MDB mengumumkan hasratnya untuk menarik balik saman terhadap Riza dan dua syarikat berkaitan dengannya bulan lalu.
Beliau menetapkan jumlah tersebut selepas mengambil kira sembilan hari perbicaraan, 8,000 halaman dokumen yang difailkan di mahkamah, jumlah sesi pengurusan kes serta pelbagai permohonan interlokutori yang dikemukakan.
“Tidak dinafikan bahawa semua itu bukan tugas yang mudah bagi pihak yang terlibat. Oleh itu, kos ditetapkan pada RM225,000 dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula,” katanya dalam penghakimannya.
Pada 24 Feb lalu, peguam 1MDB Rabindra S Nathan, memaklumkan kepada mahkamah bahawa syarikat itu mengambil keputusan untuk menarik balik saman terhadap defendan.
Bagaimanapun, beliau tidak memberikan sebarang alasan bagi penarikan balik saman tersebut.
1MDB sebelum ini memohon deklarasi bahawa Riza dan dua syarikat Red Granite miliknya, yang menerbitkan filem Hollywood terkenal The Wolf of Wall Street, bertanggungjawab terhadap dana yang diseleweng daripada syarikat pelaburan negara itu.
1MDB juga menuntut bayaran semula semua dana yang didakwa diseleweng berjumlah USD248 juta.
Riza, yang diwakili peguam Shafee Abdullah, pada mulanya menuntut kos sebanyak RM900,000.