Kes saman kecuaian veterinar dibicarakan di P Pinang minggu depan

Kes saman kecuaian veterinar dibicarakan di P Pinang minggu depan

R Viknesvary saman dua doktor veterinar dan sebuah hospital veterinar serta sebuah syarikat susulan kematian anjingnya pada 2023.

ollie
Ollie yang berusia lima tahun cedera dalam satu kemalangan pada 23 Jan 2023 dan mati ketika menerima rawatan di sebuah hospital veterinar di Pulau Pinang dua hari kemudian.
PETALING JAYA:
Satu kes saman membabitkan kecuaian veterinar dijadual dibicarakan di Mahkamah Majistret Pulau Pinang minggu depan, yang berkemungkinan kes pertama seumpanya di negara ini.

Seorang suri rumah, R Viknesvary, 51, menamakan dua doktor veterinar, sebuah hospital veterinar di Pulau Pinang serta anak syarikatnya sebagai defendan dalam saman berhubung kematian Ollie, seekor anjing kacukan Beagle berusia lima tahun, tiga tahun lalu.

Beliau menuntut ganti rugi bagi kos rawatan dan perbelanjaan pengebumian, selain pampasan atas tekanan emosi yang dialaminya akibat kejadian itu.

Menurut pernyataan tuntutannya, Ollie cedera pada 23 Jan 2023 apabila suami Viknesvary secara tidak sengaja mengundur keretanya dan melanggar anjing tersebut di rumah mereka di Bayan Lepas.

Ollie dibawa ke sebuah klinik swasta dan distabilkan sebelum dipindahkan ke hospital haiwan yang mempunyai kemudahan sinar-X. Di situ, seorang doktor veterinar mendapati Ollie mengalami pelbagai patah tulang dan kerosakan tisu.

Seperti yang dinasihatkan, Viknesvary memasukkan Ollie sebagai pesakit di hospital tersebut dan mendakwa dimaklumkan pembedahan tidak boleh dilakukan sehingga keadaan Ollie stabil. Beliau juga mendakwa dimaklumkan bahawa pakar bedah tidak tersedia.

Viknesvary mendakwa beliau berulang kali meminta supaya imbasan sinar-X kedua dilakukan, namun diberi jaminan bahawa anjing itu berada dalam keadaan baik.

Selepas dua hari, Ollie rebah dan mati. Permintaan untuk mendapatkan nota perubatan bagi menunjukkan rawatan yang diterima anjing itu didakwa tidak dijawab.

Dalam pembelaan mereka, defendan berhujah bahawa suami Viknesvary yang menyumbang kepada kecuaian, sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap kecederaan anjing tersebut.

Defendan, yang diwakili oleh Sanjay Mohan, berkata Ollie berada dalam keadaan kritikal dan perlu distabilkan sebelum pembedahan. Mereka juga berkata anjing itu telah dirawat sebaik mungkin mengikut kemampuan mereka.

Peguam V Muniandy, yang mewakili Viknesvary, berkata perbicaraan selama empat hari itu akan bermula pada 9 Feb, dengan empat saksi termasuk tiga doktor veterinar memberi keterangan bagi pihak plaintif.

Defendan pula akan memanggil tiga saksi untuk memberi keterangan dalam pembelaan mereka.

Muniandy berkata kes itu akan menjelaskan standard penjagaan daripada profesional veterinar serta mentakrifkan tanggungjawab hospital haiwan swasta terhadap pemilik haiwan peliharaan.

“Ia akan membuka pintu kepada remedi sivil untuk pemilik haiwan peliharaan yang mengalami kerugian akibat dakwaan salah laku,” katanya.

Beliau menambah, saman itu berpotensi menjadi duluan tentang bagaimana mahkamah menilai kemudaratan yang melibatkan haiwan peliharaan, yang semakin dianggap sebagai ahli keluarga dan bukan sekadar harta.

Dalam satu lagi kes yang turut jadi tumpuan, empat aktivis haiwan menyaman kerajaan Terengganu dan Majlis Daerah Besut berhubung kejadian menembak mati seekor anjing liar bernama Kopi.

Kes tersebut, yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Disember 2024 dan masih menunggu perbicaraan, mendakwa pembunuhan itu melanggar Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.