
Keputusan dibuat dua panel hakim terhadap tertuduh, Eda Ezrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, dan suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, serta rakan Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; Erdeka Mohd Noor, 33, dan Zuhaira Nasrin, 26, selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan ketika perbicaraan berlangsung.
Dalam hujah penghakiman, hakim berkata keputusan dibuat selepas mendapati tiada bukti yang boleh mengaitkan sejumlah dadah berkenaan dengan semua tertuduh.
Malah, katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian turut tidak menunjukkan bekalan dadah terbabit dibawa oleh mereka.
“Sebaliknya rakaman CCTV menunjukkan bekalan dadah terbabit dibawa masuk oleh tiga individu lain,” katanya menurut Berita Harian.
Bagi pertuduhan mengambil dadah, semua mereka dikenakan penjara enam bulan dan denda 4,000 baht (RM526) setiap seorang, namun tempoh pemenjaraan sudah selesai selain disebabkan semua tertuduh berkelakukan baik.
Erdeka dan Zuhaira yang turut didakwa atas pertuduhan memasuki Thailand tanpa dokumen dikenakan denda RM526.
Sementara itu, peguam mewakili semua tertuduh, Sufian Abdul Aziz, ketika ditemui di luar mahkamah berkata beliau bersyukur semua anak guamnya dibebaskan daripada pertuduhan memiliki dadah.
“Mereka hanya dikenakan hukuman penjara enam bulan dan denda disebabkan mengambil dadah namun hukuman berkenaan sudah selesai dijalankan manakala dua lagi yang memasuki Thailand tanpa dokumen turut dikenakan denda,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata semua anak guamnya masih perlu berada dalam penjara untuk tempoh sekurang-kurangnya satu hingga empat bulan lagi untuk menunggu sekiranya pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
“Untuk kesemua tiga pertuduhan sudah dianggap selesai hari ini di mana anak guam saya bebas daripada pertuduhan memiliki sejumlah pil yaba.
“Namun mereka perlu berada di penjara sekurang-kurangnya sebulan sehingga empat bulan lagi, menunggu sekiranya pihak pendakwaan mahu memfailkan rayuan,” katanya.
Penyanyi terbabit dan lima individu itu sebelum ini didakwa atas tuduhan memiliki 6,059 pil yaba dan penggunaan dadah di pekan Sungai Golok.
Zuhaira dan Erdeka juga didakwa kerana memasuki Thailand tanpa dokumen sah, selain tinggal melebihi tempoh dibenarkan.
Semua tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki pil tersebut, namun mengaku bersalah bagi tuduhan menggunakan dadah.