3 anggota polis mengaku tak salah terima suapan RM20,000

3 anggota polis mengaku tak salah terima suapan RM20,000

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu untuk tidak mengambil tindakan terhadap pesalah kes dadah, dua tahun lalu.

mahkamah sesyen majistret ipoh
Tiga anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua pertuduhan secara bersama memperoleh rasuah RM20,000 agar tidak mengambil tindakan terhadap pesalah kes dadah.
PETALING JAYA:
Tiga anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas dua pertuduhan secara bersama memperoleh rasuah RM20,000 agar tidak mengambil tindakan terhadap pesalah kes dadah, dua tahun lalu.

Tertuduh, Ahmad Rabani Rusnizal, 29; Mohamad Shukre Mohamed Rowi, 37; dan Wan Mohd Nor Imran Wan Seman, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi bagi kedua-dua pertuduhan dibacakan secara bersama, lapor Berita Harian.

Mengikut pertuduhan pertama, ketiga-tiga mereka yang ketika kesalahan itu dibuat bertugas di Unit Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Merbok, Kedah secara bersama dengan niat rasuah memperoleh suapan wang RM10,000 melalui pindahan wang daripada akaun AM Bank Islamic milik Azizi Norhafizi Abu Bakar ke akaun bank BSN dimiliki Ahmad Rabani.

Suapan itu sebagai dorongan supaya tertuduh tidak mengambil tindakan terhadap Azizi kerana memiliki dadah syabu yang menjadi kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Perbuatan itu dilakukan di BSN-CPI Kamunting, dalam daerah Larut, Matang & Selama kira-kira jam 3 pagi 24 Julai 2023.

Bagi pertuduhan kedua pula, ketiga-tiga tertuduh juga didakwa secara bersama dengan niat rasuah memperoleh suapan wang RM10,000 melalui pindahan wang daripada akaun AM Bank Islamic juga milik Azizi ke akaun bank BSN juga dimiliki Ahmad Rabani.

Dorongan sebagai suapan itu seperti pertuduhan pertama iaitu supaya tidak mengambil tindakan terhadap Azizi kerana memiliki dadah syabu yang menjadi kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.

Perbuatan bagi pertuduhan kedua itu juga dilakukan di BSN-CPI Kamunting, dalam daerah Larut, Matang & Selama kira-kira 3 pagi pada keesokannya iaitu 25 Julai 2023.

Perbuatan bagi kedua-dua pertuduhan itu jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan itu jika suapan boleh dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi untuk setiap pertuduhan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Zulfadli Azharudin mengendalikan pendakwaan manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Siti Salwa Ja’afar.

Terdahulu, Zulfadli menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh berserta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri ke Pejabat SPRM Sungai Petani, Kedah pada Ahad minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Siti Salwa bagaimanapun meminta ia dikurangkan dengan alasan pendapat tertuduh sekitar RM1,700 sebulan dan menyara keluarga, manakala Wan Mohd Nor Iman kini bekerja sebagai pemandu lori.

Hakim membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 seorang dan membenarkan syarat tambahan diminta pendakwaan, selain menetapkan 26 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Semua tertuduh membayar wang jaminan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.