Enggan berpaling: M Ravi harapan keluarga banduan akhir

Enggan berpaling: M Ravi harapan keluarga banduan akhir

Mengabdikan hidup untuk mencabar hukuman mati, peguam Ravi Madasamy disifatkan sebagai pejuang yang enggan berpaling daripada penderitaan orang lain.

Angelia Pranthaman bersama M Ravi sewaktu mendiang berkunjung ke Kuala Lumpur.  (Gambar Angelia Pranthaman)
PETALING JAYA:
Ketika notis pelaksanaan hukuman mati terhadap Pannir Selvam Pranthaman diterima, keluarganya buntu dan terdesak tanpa peguam boleh diharapkan.

Namun sebelum sesiapa pun tampil, seorang insan enggan berpaling daripada penderitaan mereka.

Detik itu kembali segar dalam ingatan kakak Pannir Selvam, Angelia Pranthaman, susulan pemergian Ravi Madasamy — bekas peguam hak asasi manusia dari Singapura yang meninggal dunia pagi tadi.

Angelia menggambarkan Ravi sebagai pejuang yang tidak kenal erti putus asa, seorang pengamal undang-undang mengabdikan hidup membela banduan berdepan hukuman mati.

Walaupun Ravi tidak dilantik secara rasmi sebagai peguam Pannir Selvam, Angelia berkata beliau menjadi rujukan undang-undang buat keluarga mereka dan tidak berhenti membantu walaupun lesen guamannya digantung pada 2023.

“Beliau menunggu di mahkamah dan berusaha mencari peguam yang masih mempunyai lesen untuk membantu kami,” katanya kepada FMT.

“Walaupun adik saya bukan anak guamnya secara langsung, beliau tetap berdiri bersama kami.”

Sejak 2019 hingga ke akhir hayat, keluarga itu kekal berhubung rapat dengan Ravi, sering mendapatkan pandangannya mengenai langkah undang-undang boleh diambil.

Angelia menegaskan tidak ramai peguam di Malaysia mahupun Singapura mempunyai pengalaman mendalam seperti Ravi dalam kes hukuman mati.

“Nasihat beliau sentiasa tepat dan berpijak di bumi nyata,” katanya. “Dalam banyak keadaan, nasihat itu membuahkan hasil.”

Pertaruhan Ravi

Sebelum ini, laporan media Malaysia dan Singapura menumpukan pada peranan Ravi mewakili dua banduan warga Malaysia di Singapura.

Namun Angelia menolak gambaran itu sebagai terlalu sempit dan mennyifatkan komitmen Ravi melangkaui kewarganegaraan atau pelantikan rasmi.

“Hakikatnya, beliau peguam kepada semua yang berdepan hukuman mati di Singapura,” katanya.

Antara kes diingati Angelia ialah kes Gobi Avedian pada 2020, seorang warga Malaysia yang dijatuhi hukuman mati sebelum Ravi berjaya menukar hukuman mati kepada pemenjaraan pada saat-saat akhir.

Kejayaan itu menyorot perhatian kepada Ravi. Kenyataannya dalam satu temu bual berhubung kes itu bagaimanapun membawa kepada penggantungan lesen mengamal undang-undang, sekali gus menyukarkan beliau mewakili banduan-banduan lain.

“Beliau sanggup mempertaruhkan segalanya demi seseorang yang tidak dikenalinya,” kata Angelia.

“Itulah Ravi. Beliau akan membantu tanpa mengira apa jua keadaan.”

Angelia mendedahkan Ravi tidak pernah meminta bayaran daripada keluarga mereka, walaupun kerap berulang-alik ke Kuala Lumpur.

Bulan lalu, mereka masih berutus mesej dan Ravi berkongsi berita bukunya ‘The Kampung Boy’ serta sebuah penerbitan berkaitan pengalaman Pannir Selvam di penjara menunggu hukuman mati telah diterbitkan fakulti undang-undang Universiti Oxford.

“Saya tidak menyangka itu perbualan terakhir kami,” kata Angelia, yang berkata Ravi pernah suarakan hasrat menghasilkan sebuah filem mengenai hukuman mati.

Pemergiannya yang mengejutkan meninggalkan kesan mendalam kepada Angelia. “Beliau seorang yang sihat,” katanya, sambil menambah kematian Ravi hanya beberapa hari sebelum tahun baharu amat menyedihkan buat keluarga mereka.

Oktober lalu, Singapura melaksanakan hukuman mati terhadap Pannir Selvam atas kesalahan menyeludup 51.84 gram diamorfin pada 2014.

Biro Narkotik Pusat Singapura mengesahkan pelaksanaan hukuman tersebut dalam satu kenyataan, menegaskan Pannir Selvam, ketika berusia 38 tahun, diberikan proses perundangan sepenuhnya serta diwakili peguam sepanjang perbicaraan dan rayuan.

Pannir Selvam disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 27 Jun 2017 atas kesalahan mengedar 51.84 gram diamorfin di pusat pemeriksaan Woodlands pada 3 Sept 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.