3 termasuk penjawat awam direman dalam siasatan kes rasuah RM30,000

3 termasuk penjawat awam direman dalam siasatan kes rasuah RM30,000

Suspek dipercayai menerima rasuah pada 2021 dan 2022 sebagai balasan mengubah keputusan laporan kimia dalam kes dadah.

macc
Ketiga-tiga suspek ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan antara 9.15 malam hingga 9.30 malam tadi.
PETALING JAYA:
Tiga individu termasuk dua penjawat awam direman empat hari bagi membantu siasatan rasuah berkaitan kes dadah berjumlah RM30,000.

Majistret Ameera Mastura Khamis mengeluarkan perintah reman bermula hari ini terhadap seorang lelaki dan dua wanita berusia antara 30 hingga 40 tahun itu susulan permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Menurut sumber, dua penjawat awam terbabit dipercayai menerima wang rasuah masing-masing berjumlah RM15,000 secara berasingan pada 2021 dan 2022 sebagai balasan mengubah keputusan laporan kimia berhubung siasatan kes dadah.

Suspek disyaki menerima rasuah secara berasingan melalui transaksi pindahan wang pada 2021 dan 2022 ke akaun milik suspek daripada akaun bank suspek ketiga yang ditahan kerana disyaki turut bersubahat meminta dan menerima rasuah bagi pihak suspek utama.

Ketiga-tiga suspek ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan antara 9.15 malam hingga 9.30 malam tadi, lapor Bernama

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan kes disiasat bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.