Pelihara seni kraf tekstil demi warisan negara, titah Tengku Ampuan Pahang

Pelihara seni kraf tekstil demi warisan negara, titah Tengku Ampuan Pahang

Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan tradisi tekstil terus berkembang maju.

Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah
Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama peserta Kolokium Sejarah Maritim Alam Melayu Dalam Peta Dunia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
KUALA LUMPUR:
Tengku Ampuan Pahang mahu usaha memelihara seni kraf tekstil diteruskan bagi mengangkat sejarah dan warisan negara itu.

Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah usaha memelihara, inovasi dan mempromosikan tradisi tekstil bukan sahaja menjaga peninggalan kesenian nenek moyang malah mengangkat peranan dunia Melayu dalam laluan sutera maritim.

“Semasa kita melihat ke arah masa depan, menjadi tanggungjawab untuk memastikan tradisi tekstil ini terus berkembang maju.

“Industri fesyen global telah mula mengenali nilai tekstil warisan, menawarkan platform baharu supaya seni pertukangan Melayu bersinar,” titahya merasmikan Kolokium Sejarah Maritim Alam Melayu Dalam Peta Dunia di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Titah baginda, dalam mengangkat seni tekstil itu, ada cabaran lain perlu dihadapi antaranya mengimbangi tradisi dengan kemodenan dan melindungi integriti dalam warisan tenunan dalam mengikuti perkembangan semasa.

Program Kolokium Sejarah Maritim Alam Melayu Dalam Peta Dunia berlangsung dua hari membawakan tema Sejarah pergerakan, pengangkutan, perdagangan, politik, intelektual, sains, seni dan ketamadunan Melayu yang berlaku di aras laluan air di Jalur Sutera.

Kolokium itu bersesuaian dengan Pembangunan Galeri Maritim Pulau Beram sedang dibina di Muzium Pahang yang bertujuan memperkenalkan sejarah maritim alam Melayu.

Tunku Azizah yakin pembentangan dalam kolokium itu mampu meneroka hubungan kompleks antara rangkaian perdagangan maritim, evolusi tekstil dan fesyen Melayu dengan menekankan kepentingannya sebagai komoditi dan simbol budaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.