
Tunku Azizah yang juga Raja Permaisuri Agong ke‑16 hingga Januari 2024 menegaskan, banyak warisan negara kini hanya hidup dalam ingatan dan individu benar‑benar mahir dengan tradisi itu.
“Kita tidak boleh biarkan ia lenyap,” katanya pada Festival Tekstil Antarabangsa Borneo di Kuching, semalam.
Baginda mendapati keindahan budaya Sarawak mempunyai hubungan rapat dengan alam semula jadi.
“Hutan, sungai dan gunung‑ganang anda bukan sekadar latar belakang. Ia adalah guru, sumber inspirasi dan pencerita,” katanya dalam ucaptama pada majlis perasmian festival itu.
Tunku Azizah bertitah, hubungan rapat dengan alam semula jadi menjadikan masyarakat Sarawak lemah lembut, baik hati, berorientasikan komuniti serta bijak.
Menurut baginda, perkara ini menekankan kepentingan melindungi hutan dan sungai memandangkan ‘warisan tidak dapat bertahan jika tanah yang mengajarnya hilang’.
Tunku Azizah bertitah, selain hanya berfungsi sebagai pakaian, tekstil adalah objek suci bagi setiap komuniti tempatan.
“Bukan hanya kraftangan, reka bentuk ini mengingatkan kita bahawa tenunan adalah teologi, falsafah dan tamadun.”
Tegasnya, walaupun tidak banyak tempat boleh mendakwa memiliki ‘kepelbagaian menakjubkan’ seperti Borneo, namun penghargaan mendalam setiap komuniti – Melayu, Dayak, Orang Ulu, Kadazan‑Dusun, Murut, Melanau, Penan, Bajau, Iban dan Bidayuh – terhadap budaya serta warisan masing‑masing yang menyatukan mereka.
Tunku Azizah yang mengakui cintakan warisan dan budaya bertitah, usaha diperlukan untuk tradisi itu diwarisi generasi muda, bukan melalui paksaan, tetapi dengan memupuk rasa seronok dalam memelihara warisan sendiri, mencetuskan rasa ingin tahu serta menggalakkan penyertaan mereka.
Dari sudut peribadi, rasa cinta Tunku Azizah terhadap warisan bermula di rumah, dipupuk ibu bapa baginda. “Hari ini, saya memupuknya dalam anak‑anak saya.”
Baginda bertitah, puterinya mewarisi minat sama terhadap warisan dan budaya. “Keputusan anak saya mempelajari tekstil bukan dipaksa. Kami galaknya.”
Tengku Ampuan turut menegaskan, sejarah menunjukkan institusi istana memainkan peranan penting dalam memelihara kraftangan halus seperti songket, kelingkam, tekat dan tenunan.
“Permaisuri memelihara tradisi ini. Saya berasa rendah diri diberikan peluang untuk meneruskan legasi ini. Warisan bukan projek saya. Ia tanggungjawab saya.”
Selama 20 tahun, baginda bekerja dengan penggiat seni, golongan tua, muzium, penjara, yayasan dan rakan antarabangsa untuk terus menghidupkan tradisi itu. “Ini kegembiraan terbesar dalam hidup saya.”
Tengku Ampuan turut menyebut program tenunan di penjara antara pencapaian paling bermakna baginda.
“Selama 20 tahun, kami melatih banduan,” titah baginda sambil menambah warisan bukan saja memulihkan dan mengubah kehidupan mereka, tetapi turut mengembalikan maruah mereka.
“Ramai penenun terbaik kita dari sebalik tembok penjara.”