
“Pahang dan alam Melayu yang diwakilinya bukan sekadar sebuah kerajaan, tetapi sebuah kekuatan tamadun yang berilmu, berperundangan dan bercahaya. Ia bukan tinggalan nostalgia, tetapi nadi bertulis bagi dunia Melayu-Islam yang berdaulat,” titah Tunku Azizah dalam satu syarahan di Universiti Oxford, United Kingdom.
Dalam syarahan bertajuk ‘Pahang: Warisan Perlembagaan dan Maritim Melayu-Islam Yang Dilupakan’, baginda menggambarkan undang-undang nenek moyang negeri itu sebagai “nadi bertulis bagi dunia Melayu-Islam yang berdaulat — yang wujud lebih awal daripada kebanyakan tradisi perlembagaan Barat”.
Tunku Azizah bertitah bahawa Pahang pada abad ke-16 bukan sekadar sebuah kerajaan di tepi laut, tetapi ‘kerajaan laut’. Sebuah tamadun maritim yang mentadbir perairannya “melalui keadilan bukannya penaklukan, melalui ketamadunan bukannya penjajahan”.
Pahang, titah baginda, “merupakan tamadun pelabuhan dan ilmu. Perdagangan dan kebenaran serta tempat iman dan keadilan berlayar seiring. Ia menarik para pedagang bukan dengan senjata, tetapi dengan kehebatan ilmu pelayaran, diplomasi dan keimanan”.
Disusun antara tahun 1592 dan 1614 di bawah pemerintahan Sultan Abdul Ghafur Muhyiddin Shah, Hukum Kanun Pahang dianggap sebagai salah satu manuskrip undang-undang tertua dan paling lengkap di Asia Tenggara.
Titah baginda, fakta itu menjadikan Sultan Abdul Ghafur sebagai arkitek perlembagaan Melayu-Islam’ dan seorang pembuat undang-undang di mana pengkanunan itu memelihara tertib moral dan perundangan negeri.
Baginda bertitah bahawa kod undang-undang itu bukan sekadar buku peraturan, tetapi satu ungkapan menyeluruh tentang kedaulatan, keadilan dan keimanan, yang merangkumi hal-hal seperti pangkat tentera laut, percukaian, serta tanggungjawab pemerintah dan rakyat.
“Ia mengubah sebuah kesultanan menjadi sebuah tamadun,” titah baginda.
Tengku Ampuan juga mencabar naratif penjajah yang menggambarkan Orang Laut sebagai lanun, menegaskan bahawa mereka sebenarnya adalah pelaksana keadilan sultan.
“Berabad-abad sebelum wujudnya undang-undang maritim antarabangsa, Pahang sudah pun mengutarakan falsafah bahawa lautan boleh ditadbir melalui keadilan,” titahnya.
Tunku Azizah menegaskan bahawa Hukum Kanun Pahang wajar diiktiraf setaraf dengan Piagam Madinah, ‘Twelve Tables of Rome’ dan ‘Justinian Code’.
Baginda bertitah bahawa manuskrip itu yang kini disimpan di Muzium Negeri Pahang layak mendapat pengiktirafan antarabangsa dan harus disenaraikan dalam Warisan Ingatan Dunia Unesco.
“Eropah datang ke Asia mencari rempah, tetapi mereka pulang dengan rasa, fabrik dan iman — jiwa alam Melayu,” titah Tunku Azizah kepada para hadirin terhormatnya.
Tunku Azizah turut menyeru sarjana dan institusi di seluruh dunia mengiktiraf dokumen bersejarah Pahang itu sebagai bukti hidup kepada tamadun Melayu-Islam yang berdaulat.
Baginda bertitah pada majlis pembukaan bengkel Pahang dan Lautan, yang menghimpunkan sarjana dan penyelidik maritim dari Asia Tenggara, Lautan Hindi, Timur Tengah dan China.
Bengkel tersebut, yang dianjurkan bersama oleh Muzium Pahang dan Kolej St Antony’s, berlangsung hari ini dan esok, serta menampilkan beberapa sarjana terkemuka antarabangsa yang menelusuri peranan Pahang di sepanjang Laluan Rempah serta hubungannya dengan Teluk Parsi dan Eropah.
Ucapan Tunku Azizah didahului oleh ucapan alu-aluan daripada ahli sejarah terkenal Timur Tengah, Eugene Rogan, dan Raihan Ismail, profesor dalam pengajian Islam kontemporari berpangkalan di Universiti Oxford.