Penganalisis jangka Hadi terus terajui PAS, tiada ahli berani cabar presiden

Penganalisis jangka Hadi terus terajui PAS, tiada ahli berani cabar presiden

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa meramalkan Hadi Awang akan kekal di jawatan itu sehingga beliau meletak jawatan.

Penganalisis Syaza Shukri berkata tiada sebab untuk sesiapa mencabar kedudukan Hadi Awang sebagai presiden memandangkan PAS dalam kedudukan terbaik ketika ini.
PETALING JAYA:
Penganalisis meramalkan Hadi Awang akan terus menerajui PAS kerana tiada pemimpin berani mencabar jawatan nombor satu itu pada pemilihan parti September ini.

Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) meramalkan Hadi akan kekal di jawatan itu sehingga beliau meletak jawatan.

“Ahli PAS fikir jawatan presiden tak patut dicabar selagi Hadi dalam PAS dan masih hidup, melainkan dia sendiri kata nak lepas jawatan. Kalau tidak, memang jawatan itu akan jadi milik Hadi.

“Saya juga tak lihat ada sesiapa yang akan melawan Hadi atau sesiapa mampu cabar Hadi,” katanya kepada FMT.

Tetapi, beliau menjangkakan saingan bagi jawatan tiga naib presiden dalam kalangan empat menteri besar.

“PAS menang Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu, tapi jawatan naib presiden hanya ada tiga. Jadi, kita sedar biasanya naib presiden adalah menteri besar atau individu yang nak panjat lebih tinggi.

“Sebab itu pada pemilihan lalu, (Menteri Besar Kedah) Sanusi Nor pilih tarik diri sebab tak nak ada pertandingan,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan akan menolak pencalonan sebagai presiden pada pemilihan parti kerana jawatan itu harus kekal disandang Hadi.

Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar pula dilaporkan berkata beliau tidak pernah terfikir bertanding jawatan presiden kerana merasakan dirinya tidak layak memikul tanggungjawab seberat itu.

Isnin lalu, FMT memetik sumber melaporkan dua jawatan itu mungkin dipertandingkan, selepas kali terakhir pada 2015.

Sumber memberitahu ia mungkin berlaku jika Hadi yang menyandang jawatan itu sejak 2002, mengundur diri seperti diminta segelintir ahli susulan keadaan kesihatan.

Senada dengan Lau, Syaza Shukri juga dari UIAM meramalkan tiada perubahan bagi dua jawatan tertinggi PAS.

“Tiada siapa akan mencabar Hadi buat masa ini. PAS sekarang dalam kedudukan terbaik, tiada sebab untuk sesiapa cabar kedudukan presiden,” katanya.

Beliau turut menjangkakan prestasi PAS akan kekal cemerlang di bawah pimpinan Hadi bagi menghadapi PRU16.

“Saya rasa PAS dapat kekalkan momentum untuk PRU16, tetapi tak seperti PRU15. PRU15 memang kejutan sebab tidak dapat jangka PAS menguasai TikTok.

“Sekarang pihak lawan lebih bersedia, tetapi masih ada sokongan kuat untuk PAS,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.