
Menteri Luar Mohamad Hasan, berkata perkara itu telah dipersetujui pada peringkat Menteri-menteri Luar Asean.
“Kita cuba mengimbangkan supaya tak condong kepada mana-mana kerana kita sudah ada Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China…jadi, Asean akan terus memacu hala tuju sebagai Asean yang bersepadu dan terus berkecuali serta tidak memihak mana-mana.
“Pada (sidang kemuncak khas) itu nanti kita nyatakan ‘wish list’ kita dan kita dengar ‘wish list’ mereka (AS) kerana berurusan dengan orang seperti ini (Presiden AS Donald Trump), beliau nak dengar apa kita ada,” katanya menurut Bernama ketika penggulungan usul menjunjung kasih Titah Diraja, di Dewan Rakyat.
Mohamad berkata, Malaysia bukan sahaja harus berhati-hati mengurus dasar luar dan hubungan dua hala, tetapi juga perlu berwaspada dalam menguruskan hubungan perdagangan agar ekonomi negara tidak terjejas.
Justeru, beliau berkata Malaysia tidak boleh menidakkan hubungan baik dengan AS selama ini yang merupakan pelabur terbesar negara secara kumulatif.
“Perkara ini sedang dilakukan Kementerian Luar untuk uruskan secara teratur kerana jumlah dagangan Malaysia-AS adalah sebanyak RM324 bilion untuk 2024 dan ia merupakan jumlah dagangan amat besar.
“Dari segi siapa dapat keuntungan daripada RM324 bilion itu, Malaysia eksport RM198 bilion kepada AS dan kita import RM126 bilion, jadi lebihan dagangan RM70 bilion berpihak kepada kita,” katanya.
Mohamad berkata, teras dasar luar negara ialah berprinsip dengan Malaysia tidak akan menyokong, sebaliknya mengutuk negara mengamalkan dasar aparteid, dasar melakukan genosid, dan jenayah terhadap kemanusiaan.