
“Setiausaha agung amat bimbang dengan peningkatan ketegangan di Venezuela baru-baru ini, yang memuncak dengan tindakan ketenteraan Amerika Syarikat di negara itu hari ini, yang berpotensi membawa implikasi membimbangkan kepada rantau ini,” menurut jurucakapnya Stephane Dujarric dalam kenyataan.
“Tanpa mengambil kira situasi di Venezuela, perkembangan ini membentuk satu duluan berbahaya,” katanya.
Guterres menekankan kepentingan menghormati sepenuhnya undang-undang antarabangsa, termasuk Piagam PBB, selain melahirkan kebimbangan norma undang-undang asas mungkin tidak dipatuhi.
Beliau menggesa semua pihak di Venezuela untuk terlibat dalam ‘dialog inklusif’ serta mendesak agar hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang dihormati sebagai jalan penyelesaian krisis secara aman.
Presiden AS Donald Trump mengesahkan serangan ‘skala besar’ itu menerusi platform media sosial miliknya, Truth Social, dengan mendakwa Presiden Venezuela Nicolas Maduro dan isteri telah ditahan serta diterbangkan keluar dari negara berkenaan.
Venezuela memaklumkan AS menyerang pepasangan awam dan tentera di beberapa negeri serta mengisytiharkan darurat nasional. Menteri Luar Yvan Gil mengumumkan Venezuela telah meminta mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan PBB diadakan susulan serangan itu.
Peguam Negara AS Pam Bondi, berkata Maduro dan isterinya telah didakwa di New York.